Berita Utama

Lelaki hina Islam, hasut murtadkan wanita ditahan polis

Polis cuba kesan jika ada individu lain terbabit kes sama

KUALA LUMPUR, 26 Rejab 1442H, Rabu – Seorang lelaki disyaki menghina agama Islam serta menghasut untuk memurtadkan seorang wanita ditahan pihak polis pada Selasa.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata, lelaki berusia 29 tahun itu ditahan pada jam 12.05 tengah hari.

“Sepasukan polis dari Unit Siasatan Jenayah Terkelas Bukit Aman telah menahan lelaki itu serta merampas sebuah telefon bimbit dan kad SIM,” katanya seperti dilapor Harian Metro, hari ini.

Huzir berkata, permohonan reman ke atas suspek mengikut Seksyen 117 Kanun Keseksaan Prosedur Jenayah akan dibuat pada Rabu bagi siasatan lanjut.

Beliau berkata, pihaknya kini dalam usaha mengenal pasti dan mengesan sama ada terdapat individu lain yang turut terbabit dalam kes berkenaan.

Katanya, suspek telah memuat naik klip video berdurasi 3 minit 11 saat berkaitan kes itu melalui platform YouTube pada pertengahan Februari lalu.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 441 Akta Hasutan 1948, Seksyen 298 Kanun Keseksaan, Seksyen 505 (c) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya.

Huzir turut menggesa orang ramai supaya menjadi pengguna media sosial yang bijak, berhemah dan tidak menggunakan platform berkenaan sehingga boleh mendatangkan kegusaran serta mengganggu gugat keharmonian negara.

“Tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil terhadap mana-mana individu yang sengaja mengancam ketenteraman serta keselamatan awam,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button