Berita Utama

Penceroboh dakwa tak boleh dihalau kerana keputusan rayuan belum muktamad

Pekebun haram buat laporan polis minta hentikan segala bentuk penguatkuasaan

BANGI, 18 Jamadilawal 1442H, Sabtu – Save Musang King Alliance (SAMKA) tidak berpuas hati apabila kerajaan negeri Pahang meminta semua pekebun haram Raub meninggalkan kebun sebelum 4 Januari, yang sekiranya tidak dilaksanakan, mereka akan dikenakan tindakan. 

SAMKA dalam satu kenyataan di Facebook mengecam sekeras-kerasnya tindakan kerajaan negeri yang didakwa sebagai kejam, kononnya dilakukan demi kekayaan serta pendapatan korporat swasta, sanggup mengorbankan usaha keras para pekebun. 

Dakwanya, kerajaan negeri tidak pernah menghargai titik peluh mereka malahan menganggap mereka sebagai penjenayah. 

“Sikap tersebut mematahkan hati serta semangat pekebun-pekebun durian yang juga merupakan anak jati Pahang.

“Pekebun-pekebun di Raub menghabiskan seluruh hayat mereka dan bekerja keras, baru boleh menjadikan Musang King sebagai jenama antarabangsa dan menjadikan Raub kampung halaman Musang King. 

“Tindakan kerajaan negeri bertujuan untuk memaksa pekebun-pekebun durian untuk menandatangani kontrak tidak adil, serta mengizinkan syarikat swasta tersebut menikmati titik penuh pekebun-pekebun dengan senang,” dakwa SAMKA. 

Berikutan itu, sejumlah 49 orang pekebun telah membuat laporan berkenaan notis oleh Pejabat Tanah Raub dan PKPP di Balai Polis Sg Ruan, kelmarin. 

Katanya, mereka meminta pihak polis supaya menghentikan segala bentuk penguatkuasaan seperti mendirikan sekatan jalan keluar masuk ke kawasan tersebut dan pengusiran. 

“Mereka mengatakan bahawa pihak Pejabat Tanah Raub dan PKPP tidak berhak untuk menghalang pekebun-pekebun keluar masuk bagi mengusahakan ladang mereka sebagai nafkah kehidupan. 

“Memandangkan kes hak milik tanah berada di peringkat mahkamah rayuan, pihak mahkamah juga belum menentukan kelayakan pekebun mengusahakan tanah. Oleh demikian, pihak Pejabat Tanah Raub dan Perbadanan Kemajuan Pertanian Pahang (PKPP) tidak harus mengambil tindakan sesuka hati,” katanya.

Dalam kenyataan sama, SAMKA memberitahu, Mahkamah Rayuan akan mengendalikan rayuan daripada pekebun pada 5 Januari 2021. 

“Baru-baru ini, 204 orang pekebun dari enam Kampung Musang King Raub utama (Sungai Klau, Sungai Chalit, Sungai Ruan, Tras, Sungai Cheteng, Sang Lee) saman kerajaan negeri Pahang dan memohon pengadilan mahkamah untuk mengkaji semula keputusan kerajaan negeri Pahang yang memajak tanah seluas 5,753 ekar kepada Pahang Royal Durian Group? 

“Namun, empat bulan selepas mahkamah mengeluarkan perintah penangguhan, Mahkamah Tinggi Kuantan telah  menolak permohonan pekebun pada 23 Desember 2020. Pekebun pula mecapai sebulat suara untuk membuat rayuan atas keputusan tersebut,” katanya. 

Serentak itu, SAMKA menegaskan bahawa pekebun-pekebun tidak akan berdiam diri atau membiarkan pencabulan hak pekebun berlaku. 

“Tidak kira apa tindakan yang diambil oleh kerajaan negeri Pahang, pekebun-pekebun tidak akan berputus asa dan terus mempertahankan hak masuk ke kebun durian sendiri,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button