Berita Utama

Scam poligami: Ada peguam syarie, pegawai mahkamah sekongkol dengan ‘ejen’

‘Mereka atur tukar kad pengenalan, dapat pengesahan bermaustatin di sesebuah negeri’

SHAH ALAM, 18 Jamadilawal 1442H, Sabtu – Segelintir pihak bertindak mengambil kesempatan dengan menjadikan kegiatan pemalsuan maklumat dalam dokumen permohonan poligami atau scam poligami sebagai suatu perniagaan.

Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM), Datuk Zainul Rijal Abu Bakar berkata, kebanyakan pihak terbabit dalam scam berkenaan menyediakan pakej-pakej tertentu bagi individu yang mahu berpoligami menerusi sindiket nikah luar negara seperti yang terdapat di Thailand dan Indonesia.

“Pertamanya, poligami di luar negara khususnya berlaku kerana ramai tidak faham undang-undang yang berkuatkuasa dalam negara. Berkahwin di luar negara ibarat senang dahulu susah kemudian,” katanya seperti dilapor Sinar Harian.

Zainul Rijal yang juga seorang peguam syarie berkata, pihak yang terbabit dalam kegiatan scam berkenaan menawarkan pakej tertentu termasuk memohon perintah pengesahan di mahkamah syariah, di mana terdapat peguam syarie yang turut bersekongkol dengan ‘ejen’ terbabit.

“Ada peguam syarie yang dilantik sebagai ‘panel peguam’ kepada pakej ini. Yuran peguam syarie juga sudah dimasukkan dalam fee pakej.

“Apabila telah berlaku akad nikah tanpa kebenaran, peguam syarie tertentu akan dilantik mengendalikan kes tersebut di mahkamah.

“Ini kerana akad nikah mungkin sah tetapi tidak boleh didaftarkan tanpa perintah pengesahan daripada mahkamah syariah,” katanya.

Jelasnya, scam poligami turut berlaku apabila terdapat pihak tertentu mencari jalan pintas bagi mendapatkan kebenaran berpoligami di negeri-negeri yang dikatakan lebih mudah untuk mendapat kebenaran.

“Mereka mengaturkan untuk menukar alamat kad pengenalan atau mendapatkan pengesahan pemastautinan di negeri berkenaan sedangkan mereka tidak pernah tinggal di negeri tersebut. Semua ini diaturkan pihak tertentu,” katanya.

Mengulas lanjut, Zainul Rijal mendedahkan bahawa terdapat pihak lain turut terbabit dalam scam poligami termasuk pegawai di mahkamah syariah negeri tertentu.

Mengakui kegiatan scam poligami telah lama menular, katanya, isu berkenaan tidak disedari ramai dan tiada tindakan diambil mungkin disebabkan orang ramai menganggap ia perkhidmatan yang sah.

“Jadi orang ramai tidak melihat ia sebagai suatu kesalahan sedangkan kesannya terhadap masyarakat sangat membarah,” katanya lagi.

Tegasnya, pemantauan dan pelaksanaan termasuklah dalam memberi kebenaran atau pengesahan perkahwinan poligami perlu diperketat.

Malah, katanya, pihak penguasa agama perlu mengambil tindakan terhadap ejen atau pengeluar pakej-pakej ini termasuk individu yang bersekongkol.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button