Berita Utama

Tindakan undang-undang menanti pengguna basikal jika…

Undang-undang lalu lintas akan dikuat kuasakan kepada penunggang

PUTRAJAYA, 18 Jamadilawal 1442H, Sabtu – Polis Daerah Putrajaya kini menetapkan beberapa syarat kepada pengguna basikal di sekitar kawasan itu, berkuat kuasa 9 Januari ini.

Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Mohd Fadzil Ali menegaskan, pengguna basikal perlu memasang brek, lampu hadapan dan loceng.

Katanya, tindakan itu akan diambil berdasarkan peruntukan mengikut Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959.

Beliau berkata, penunggang basikal yang tidak melengkapi kenderaan masing-masing dengan komponen keselamatan ditetapkan boleh didakwa di mahkamah, yang sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM2,000.

“Tindakan undang-undang itu diambil demi memastikan keselamatan pengguna dan penunggang basikal di Putrajaya terjamin.

“Ciri-ciri keselamatan basikal termasuklah lampu hadapan yang seharusnya dilengkapi dengan brek serta loceng, bagi membolehkan penunggang basikal menunjukkan kehadiran kepada pengguna jalan raya yang lain juga perlu dipandang serius,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika Operasi Khas Basikal di Dataran Putrajaya, di sini, pagi tadi. 

Mengulas lanjut, Mohd Fadzil berkata, pihaknya akan memberi kesedaran dan nasihat kepada penunggang untuk berbasikal dengan cara yang betul sehingga 9 Januari ini. 

“Selepas itu kita akan memulakan penguatkuasaan dengan menyaman mereka yang tidak mematuhi peraturan,” katanya.

Bukan itu sahaja, beliau berkata, pihaknya juga akan menguatkuasakan undang-undang lalu lintas lain terhadap penunggang basikal yang didapati melanggar peraturan.

Ini termasuk tindakan penunggang basikal yang tidak menggunakan laluan ditetapkan, menunggang dengan melulu, serta tidak mematuhi papan tanda.

Justeru, pihaknya tidak lagi akan menggunakan budi bicara terhadap pengguna basikal yang melanggar peraturan sedia ada.

“Penunggang basikal yang melanggar undang–undang boleh dihukum mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959.

“Penunggang basikal yang melakukan kesalahan boleh diambil tindakan mengikut Seksyen 54 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menunggang secara melulu, Seksyen 79(2) akta sama kerana gagal mematuhi papan tanda lalu lintas dan Seksyen 112(3) akta sama kerana melakukan mana-mana kesalahan berbasikal.

“Tindakan mengikut Kaedah 35 Kaedah–Kaedah Lalu Lintas 1959 kerana tidak memasang lampu pada basikal, manakala 42 kerana tiada ciri-ciri keselamatan seperti brek dan loceng adalah kesalahan yang tidak boleh dikompaun,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button