Berita Utama

Doktor Melayu di UK reka hijab pakai buang terima Anugerah Pakar Bedah Pelatih

Lebih 6 cadangan daripada institusi berprestij tempatan mahu bekerjasama jayakan projek

BANGI, 19 Jamadilawal 1442H, Ahad – Kebanggaan buat Malaysia! Anak Melayu, Dr Farah Shaheera Roslan menerima Anugerah Pakar Bedah Pelatih dari Hospital Umum Northampton, United Kingdom (UK) apabila berjaya mencipta hijab pakai buang khusus untuk doktor perubatan beragama Islam. 

Usaha doktor muda berusia 26 tahun itu mendapat perhatian banyak pihak di UK dan Malaysia kerana ideanya menghasilkan hijab pakai buang khusus untuk doktor ketika di dewan bedah (OT).

Projek hijab anak kelahiran Seremban, Negeri Sembilan itu telah menerima enam cadangan dari institusi berprestij termasuk Hospital Oxford University untuk bekerjasama dengannya bagi menjayakan projek berkenaan.

Menerusi usahanya, Farah mula menghantar e-mel dan berhubung dengan syarikat pembekal perubatan di Malaysia.

Beliau mengakui, kos penghantaran membatasi usahanya, namun beliau tidak berputus asa, sebaliknya memberi tumpuan kepada syarikat di UK.

“Saya berhubung dengan kira-kira lima syarikat tempatan, dan sebuah syarikat membalas dan mula menghantar bahan-bahan tudung ke rumah. 

“Saya memilih bahan yang legap, mudah bernafas, boleh diguna semula dan mudah dipakai,” katanya sambil memberitahu beliau mengambil masa kira-kira tiga bulan untuk melakukan penyelidikan untuk hijab berkenaan.

Sebelum ini, Dr Farah berkongsi bahawa idea hijab pakai buang tercetus ketika beliau dikeluarkan dari OT, selain merasakan kesukarannya dalam mengimbangi antara tuntutan agama serta keperluan, peraturan dan prosedur OT.

Ia tercetus ketika beliau menjalani latihan sebagai pelajar perubatan di University Hospital of Derby dan Burton NHS Trust.

Katanya, apabila keadaan itu berlaku, beliau kehilangan peluang pembelajaran dalam bidang yang diminatinya iaitu pembedahan.

Beliau mengambil inspirasi dari Malaysia, untuk ideanya sebelum membuat rekaan dan ujian terhadap tudung berkenaan.

Tudung itu sudah digunakan untuk pertama kalinya pada November lalu di The University Hospital of Derby dan Burton NHS Trust.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button