Rundingan dengan Dong Jiao Zong hanya muslihat tersembunyi untungkan mereka
Generasi muda Cina bakal ‘bayar harga mahal’ jika ikut telunjuk pertubuhan radikal

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin
BANGI, 19 Jamadilawal 1442H, Ahad – Jika pertubuhan radikal Cina, Dong Jiao Zong berterusan bersikap rasis yang melampau, tindakan itu hanya merugikan bangsa Cina pada masa hadapan.
Ahli Jawatankuasa Pusat gerakan Islam, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Ustaz Shuhaib Ar-Rumy berkata, sikap pertubuhan itu akan melahirkan generasi muda bangsa Cina yang memisahkan diri daripada warisan utama negara dan juga bangsa teras Melayu.
“Generasi muda bangsa Cina yang lahir daripada aliran vernakular akan membayar harga yang mahal kerana mengikut telunjuk Dong Jiao Zong secara membuta tuli.
“Tindakan Dong Jiao Zong hari demi hari yang konsisten ‘memerangi’ kaedah pelaksanaan pembelajaran yang mahu diimplementasikan oleh Kementerian Pendidikan hanya membakar segala jambatan perpaduan antara kaum,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.
Terdahulu, Dong Jiao Zong membantah cadangan penggunaan ‘manual kepelbagaian bahasa’ oleh Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Dr Mah Hang Soon untuk menghidupkan semula pengajaran dan pembelajaran mata pelajaran bahasa Melayu Tahun 4 SJKC dan SJKT.
Menerusi kenyataan bersama dalam hantaran di Facebook Dong Zong pada 21 Disember lalu, Dong Jiao Zong mendedahkan hasil soal selidik yang mendapati hampir semua ibu bapa pelajar Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) membantah modul ‘pengenalan Jawi’ Tahun 4.
Pertubuhan itu mendakwa, 1,298 buah SJKC, 98.23 peratus (1,275) membantah pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran Jawi dan hanya 23 buah SJKC yang bersetuju.
Mengulas perkara itu, Ustaz Shuhaib meminta kerajaan serta Kementerian Pendidikan untuk bertegas dengan keputusan yang telah dibuat demi kebaikan dan masa depan semua pelajar yang berbilang kaum
“Sebarang rundingan dengan Dong Jiao Zong hanyalah muslihat tersembunyi yang mencari keuntungan diri mereka sahaja.
“Semua rakyat Malaysia mesti mengamalkan pepatah Melayu iaitu ‘di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung’.
“Dong Jiao Zong mesti mentaati peraturan dan ketetapan di negara ini apabila mendiami tanah air ini,” katanya.