Berita Utama

Scam poligami: Suami enggan ikut SOP, undang-undang antara punca

Upah pihak tertentu urus perkahwinan tanpa perlu berurusan dengan pihak berwajib

SHAH ALAM, 19 Jamadilawal 1442H, Ahad – Keengganan para suami mengikut prosedur operasi standard (SOP) dan undang-undang berpoligami antara punca kegiatan scam poligami yang telah lama wujud di negara ini.

Pakar motivasi dan kaunselor, Hushim Salleh berkata, individu terbabit sanggup mengambil jalan mudah apabila mengupah pihak tertentu menguruskan perkahwinan tanpa perlu berurusan dengan pihak berwajib.

Jelasnya, sekirnya suami mahu berkahwin lain untuk kali kedua, mereka perlu mengikut SOP termasuk mengisytiharkan pendapatan dan pekerjaan kepada pejabat agama, selain mendapatkan surat persetujuan berpoligami daripada isteri pertama.

“Suami mahu mengambil jalan pintas untuk berpoligami dengan tidak mengikut SOP berkenaan.

“Mereka hanya keluarkan wang untuk membiayai kos urusan perkahwinan yang boleh dilakukan di negara ini atau di Thailand,” katanya seperti dilapor Sinar Harian.

Terdahulu, terbongkar sindiket poligami dipercayai didalangi ‘orang dalam’ institusi kehakiman syariah negara, sebagai jalan pintas kepada lelaki yang ingin berkahwin lebih daripada satu tanpa pengetahuan isteri pertama

Mengulas lanjut, Hushim berkata, majoriti suami mengambil pendekatan scam poligami dan tidak mendaftarkannya, bagi mengelakkan daripada diketahui isteri pertama.

Ia berikutan bimbang tindakannya akan memberi kesan kepada hubungan perkahwinan dan emosi anak-anak.

“Saya juga bimbang sekiranya perkara itu tidak dibendung, akan berlaku perkahwinan adik-beradik kerana perkahwinan yang dirahsiakan,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button