Berita Utama

Struktur semula Jakim, letak bawah Majlis Raja-Raja

Peruntukan termasuk bayar gaji dan emolumen imam, pegawai masjid dan guru-guru agama seluruh negara

BANGI, 19 Jamadilawal 1442H, Ahad – Menunding jari sepenuhnya kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dalam isu-isu perundangan Islam adalah tidak tepat.

Ini kerana, Jakim tidak mempunyai kuasa untuk menguatkuasa mana-mana perundangan termasuklah hal ehwal Islam berikutan ia dimiliki Jabatan Agama Islam negeri-negeri.

Malah, agensi-agensi yang tidak berjenama agama seperti Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Industri dan Perdagangan Antarabangsa juga berperanan dalam isu mengenai agama Islam, kata Datuk Zainur Rijal Abu Bakar.

Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM) itu berkata, bukan bermakna suatu agensi yang tiada berjenama agama, maka ia tidak bertanggungjawab dalam hal ehwal Islam.

“Jika kita merujuk kepada Perlembagaan Persekutuan, Yang di-Pertuan Agong ketika menaiki takhta baginda bersumpah dengan menggunakan nama-nama Allah antara lainnya memelihara agama Islam pada setiap masa sebagaimana dalam Jadual Keempat Perlembagaan Persekutuan.

“Oleh itu, setiap agensi kerajaan Persekutuan sama ada berjenama Islam ataupun tidak mempunyai tanggungjawab berperlembagaan untuk melaksanakan sumpah Agong,” katanya di Sinar Harian, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai merujuk beberapa isu kebelakangan ini yang mengaitkan keabsahan Jakim, termasuk kartel daging, sijil halal dan suntikan vaksin.

Mengulas lanjut, Zainul Rijal berkata, pelbagai tohmahan terhadap Jakim perlu dijelaskan dengan baik, seperti peruntukan besar kepada agensi itu yang dikatakan sebagai pembaziran.

“Namun, sebenarnya peruntukan tersebut termasuklah membayar gaji dan emolumen imam, pegawai masjid dan guru-guru agama seluruh negara.

“Mungkin sudah sampai masa penstrukturan semula Jakim dibuat dengan meletakkan Jakim terus di bawah Majlis Raja-Raja bagi memberi kesan kepada tindakan yang lebih efektif sebagai pemantau pelaksana dalam isu berkaitan agama Islam di samping memberi taring yang tajam bagi melaksanakan mana-mana perundangan Islam,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button