Berita Utama

Sudah jangka modus operandi, penceroboh sengaja lengah notis atur strategi

Kerajaan Pahang jangan tunduk ugutan pekebun haram, rakyat di belakang

BANGI, 19 Jamadilawal 1442H, Ahad – Sudahlah diberi penangguhan sehingga empat bulan untuk mengosongkan tanah, kini penceroboh di Raub menuduh pula kerajaan negeri zalim.

Malah, dikemukakan juga permohonan rayuan di mahkamah dan membuat laporan polis untuk menghalang notis merah yang dikeluarkan pihak pihak penguatkuasa untuk mengosongkan tanah sebelum 4 Januari ini.

Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Haji Aminuddin Yahaya berkata, semua modus operandi yang digunakan pekebun haram itu sudah pun dijangka, kerana sejak awal mereka ‘bermain’ untuk memanjang keberadaan di tanah itu bagi terus meraih hasil.

Beliau berkata, tindakan melengahkan notis pengosongan tanah membolehkan kumpulan penceroboh terbabit mengatur strategi ke arah ‘menghalalkan’ perbuatan mereka atau sekurang-kurangnya menjarah sebanyak mungkin hasil.

“Kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak penceroboh yang mengatakan kerajaan Pahang adalah kejam kerana tidak menghargai pengorbanan pekebun-pekebun haram adalah satu kenyataan menyeleweng dan cuba untuk mengelirukan rakyat.

“Apakah menghalang satu perbuatan haram boleh dikatakan kejam? Apakah pencerobohan tanah dan menidakkan hak kerajaan negeri boleh dianggap salah? Jelas mereka ini adalah berniat jahat dan cuba menyeleweng fakta,” katanya.

Haji Aminuddin berkata, sepatutnya polis perlu menolak sahaja daripada awal laporan yang dibuat kumpulan pekebun haram itu memandangkan keputusan mahkamah pada 23 Disember lalu sudah jelas.

“Tidak logik mengatakan mereka ini miskin dan serba kekurangan. Bisnes apa yang diusahakan 40 tahun, ribuan hektar, tanpa sebarang cukai, memonopoli pasaran dengan harga berlipat kali ganda yang dikatakan serba kekurangan itu?

“Lucu sungguh. Bak kata pepatah, sudah diberi betis hendak peha pula,” katanya.

Sehubungan itu, Haji Aminuddin yang juga Pengerusi Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) mengulangi gesaan supaya penceroboh di Raub dihukum mengikut Seksyen 441 Kanun Keseksaan (Pencerobohan Jenayah) dan Seksyen 425 Kanun Tanah Negara.

Selain itu, kerajaan negeri juga perlu menuntut segala kerugia wang rakyat menerusi hasil cukai yang mencecah jutaan ringgit, katanya.

“Kita mahu ditubuhkan suatu Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat siri-siri pencerobohan tanah yang lain di seluruh negeri Pahang dan setiap daerah.

“Sayah harap agar ada mana-mana ADUN, ahli Dewan Rakyat, ahli Dewan Negara membangkitkannya sekurang-kurangnya di media,” katanya.

Beliau berkata, rakyat dan NGO Islam akan memantau kes ini sehinggalah ia dikembalikan kepada kerajaan negeri, sementara penceroboh dihalau serta didakwa.

“Jangan jadikan alasan kononnya mereka telah membelanjakan ribuan ringgit dan bekerja keras puluhan tahun untuk kerajaan negeri tunduk kepada tuntutan mereka.

“Kerajaan negeri jangan mengalah dan jangan takut, kami dibelakang kalian jika kalian mahu bertindak,” katanya.

Sebelum ini, penceroboh dilaporkan meminta pihak polis menghentikan segala bentuk penguatkuasaan seperti mendirikan sekatan jalan keluar masuk ke kawasan tersebut dan pengusiran.

Save Musang King Alliance (SAMKA) dalam satu kenyataan mengatakan, pihak Pejabat Tanah Raub dan PKPP tidak berhak untuk menghalang pekebun-pekebun keluar masuk bagi mengusahakan ladang mereka sebagai nafkah kehidupan.

“Memandangkan kes hak milik tanah berada di peringkat mahkamah rayuan, pihak mahkamah juga belum menentukan kelayakan pekebun mengusahakan tanah.

“Oleh demikian, pihak Pejabat Tanah Raub dan Perbadanan Kemajuan Pertanian Pahang (PKPP) tidak harus mengambil tindakan sesuka hati,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button