Berita UtamaDunia

Turkiye tangkap 33 perisik Israel

Ankara buru 13 lagi didakwa ada kaitan Mossad Israel

ANKARA, 21 Jamadilakhir 1445H, Rabu – Turkiye dilaporkan telah menahan 33 orang yang disyaki mengintip bagi pihak Israel.

Memetik laporan Agensi Anadolu, pihak berkuasa masih mencari 13 orang lain yang dipercayai mempunyai kaitan dengan perkhidmatan keselamatan Mossad Israel.

Penangkapan itu susulan penyiasatan oleh Biro Penyiasatan Keganasan dan Jenayah Terancang pejabat pendakwa Istanbul yang memfokuskan kepada pengintipan antarabangsa.

Suspek didakwa terbabit dalam aktiviti seperti peninjauan, pengawasan, serangan dan penculikan bagi pihak Mossad.

Serbuan serentak di 57 alamat di lapan wilayah berjaya menahan suspek.

Anadolu bagaimanapun tidak memberi maklumat mengenai suspek, mahupun warga asing yang didakwa menjadi sasaran.

Laporan itu beberapa minggu selepas ketua agensi keselamatan domestik Israel, Shin Bet dalam rakaman audio berkata, organisasinya bersedia untuk memusnahkan Hamas di setiap tempat termasuk di Lubnan, Turkiye dan Qatar.

Ankara sebelum ini memberi amaran bahawa pihaknya tidak membenarkan Israel menyerang Hamas di dalam sempadan Turkiye.- Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button