Dunia

Ribut tropika Nalgae ragut 45 nyawa

Hutan gunung digondol punca banjir lumpur, tanah runtuh

MANILA, 4 Rabiulakhir 1444H, Ahad – Ribut tropika Nalgae teruk melanda Filipina pada Sabtu sehingga menyebabkan banjir kilat dan tanah runtuh sehingga mengorbankan sekurang-kurangnya 45 nyawa.

Nalgae membadai pulau utama negara kepulauan Luzon dengan angin maksimum 95kmj selepas mendarat di pulau Catanduanes yang kurang penduduk, pada awal pagi.

Bagaimanapun, kemusnahan berlaku lebih awal dengan hujan lebat di kebanyakan kawasan luar bandar di pulau Mindanao pada Khamis diikuti tanah runtuh serta banjir yang membawa maut pada Jumaat.

Pada awalnya, angka korban dilaporkan adalah 72, namun kerajaan menyemak semula jumlah kematian rasmi kepada 45 pada sebelah petang Sabtu.

Menurut pegawai, beberapa kematian telah dikira dua kali secara salah daripada peristiwan Mindanao yang menyumbang 40 kematian.

Ribut berkenaan turut mengorbankan lima nyawa lain di lain-lain tempat di Filipina.

Difahamkan, kerja-kerja menyelamat tertumpu di perkampungan Kusiong – yang menempatkan antara 80 ke 100 penduduk – didakwa tertimbus selepas sebahagian gunung berhampiran yang digondol runtuh.

Banjir kilat berserta lumpur dan tanah runtuh menjadi ancaman utama berikutan kebanyakan hutan di kawasannya ditebang, sekali gus mengundang risiko apabila berlaku taufan.

Lebih 7,000 orang dipindahkan sebelum ribut melanda, kata pejabat pertahanan awam.

Pengawal pantai juga telah menangguhkan perkhidmatan feri melalui kebanyakan negara kepulauan berikutan keadaan laut bergelora, menyebabkan ribuan kapal kapal dan penumpang terkandas di pelabuhan.

Sementara, pejabat penerbangan awam pula menangguhkan lebih 100 penerbangan setakat ini.-  Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button