Berita UtamaIstimewa

Adakah dalam diam MCA memang sokong ideologi komunis?

MCA cuba cari talian hayat kerana sudah tak disokong kaum Cina

BANGI, 20 Jamadilawal 1442H, Isnin – MCA sepatutnya menegur pemilik restoran yang menampal kertas hiasan dinding karikatur pemimpin komunis, Mao Zedong tetapi sebaliknya dilakukan parti itu apabila pihak polis pula yang dipersalahkan kerana kononnya bertindak keras. 

“Adakah MCA sebenarnya dalam diam memang menyokong ideologi komunis?,” soal Presiden gerakan Islam, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Haji Aminuddin Yahaya.

Beliau menegaskan, kenyataan Naib Presiden MCA, Tan Teik Cheng yang seolah-olah membela tindakan pemilik restoran berbangsa Cina itu sekali lagi menampakkan bahawa parti berkenaan tidak sensitif dengan masyarakat terutama para perajurit yang telah berkorban nyawa mempertahankan kedaulatan negara ini. 

“Ini menampakkan wajah sebenar MCA dan apa yang mereka perjuangkan. Apakah mempromosikan pejuang-pejuang komunis itu dianggap biasa-biasa? 

“Atau apakah ini satu usaha normalisasi atau lebih parah lagi satu usaha untuk membangkitkan kembali semangat yang sudah lama hilang? 

“Kalaulah benar ianya sekadar hiasan, maka apakah tidak ada lagi gambar lain untuk dijadikan hiasan?,” kata Aminuddin dalam kenyataan, hari ini.

Beliau menegaskan, MCA bukannya tidak mengetahui mengenai sensitiviti perkara ini kerana ia telah disuarakan banyak kali. 

Tegasnya, ini bukan isu sentimen perkauman, tetapi ini isu keselamatan negara kerana semua rakyat maklum bahawa wujudnya gerakan untuk mengembalikan ideologi komunis ke dalam masyarakat dengan penuh licik dan bersistematik. 

“Adakah mereka lupa peristiwa pembawaan pulang abu mayat Chin Peng dan perkumpulan besar-besaran mengenang perjuangan komunis di Kajang dua tahun lalu yang dihadiri sendiri oleh wakil-wakil rakyat?

“Bagaimana nanti kalau ada perarakan mereka yang memakai baju dan sepanduk pejuang-pejuang komunis? Adakah kita perlu biarkan? 

“Apakah MCA ingin menggunakan alasan ‘menghormati hubungan dengan negara China’ lagi?,” soalnya.

Menyelami tindakan MCA ini, Aminuddin berkata, parti itu sebenarnya sedang cuba untuk mencari talian hayat kerana mereka sudah tidak mendapat sokongan kaum Cina. 

Katanya, mereka akan mencuba segala upaya untuk menarik sokongan kaum Cina walaupun ia terpaksa melanggar adab-adab keharmonian kaum dan lunas undang-undang apatah lagi prinsip serta ideologi perjuangan mereka.

“Eloklah keberadaan MCA dalam BN dinilai kembali kerana mereka sudah tidak relevan dan tidak mungkin BN boleh mengharapkan apa-apa undi dari kaum Cina melalui MCA lagi kerana apa bezanya sangat mereka dengan DAP. 

“Sudah tidak terkira siri-siri isu kebiadapan MCA yang timbul, dalam tempoh hanya kurang setahun. Apakah itu masih tidak cukup untuk menjadikannya satu agenda dalam persidangan mana-mana parti Melayu terutamanya UMNO? Dengan pelbagai kebiadapan dan kejanggalan itu pun MCA masih dirai dengan pelbagai jawatan, lantikan, penghargaan dan sebagainya. 

“Malah, Tan Teik Cheng yang biadap ini juga diberikan jawatan menerajui sebuah GLC, iaitu Pelabuhan Pulau Pinang sejak Perikatan Nasional memerintah,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button