Berita Utama

Lagi gambar komunis? Pemilik restoran di Melaka ditahan

'Kita dapati beberapa gambar pemimpin terbabit digantung di dinding premis'

BANGI, 20 Jamadilawal 1442H, Isnin – Lagi kes melibatkan gambar pemimpin komunis tetapi kali ini di Melaka.

Seorang pemilik restoran di Jonker Walk, Jalan Hang Jebat ditahan selepas dipercayai mempamerkan gambar mirip pemimpin Parti Komunis China, Mao Zedong di premisnya.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Mohd Sukri Kaman berkata, wanita berusia 51 tahun itu ditahan ketika serbuan yang dilakukan hasil maklumat orang awam, semalam.

“Dalam operasi yang dijalankan kira-kira jam 1 tengah hari itu, kita dapati beberapa gambar pemimpin terbabit digantung di dinding bahagian dalam premis.

“Polis sudah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 47 Akta Pertubuhan 1966 kerana menerbitkan propaganda sebuah pertubuhan haram, dan pemilik premis terbabit juga telah dibebaskan dengan jaminan polis, hari ini,” katanya seperti dipetik Astro Awani.

Mohd Sukri berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan kerana menerbit atau mengedarkan kenyataan, khabar angin atau laporan dengan niat menyebabkan ketakutan atau kegentaran awam.

Pada Sabtu tular gambar hiasan di dalam sebuah restoran di George Town, Pulau Pinang yang memaparkan elemen komunisme dan pemimpin komunis dalam media sosial sehingga menimbulkan pertikaian netizen.

Selain itu, Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) hari ini juga telah menurunkan papan iklan sebuah premis makanan di Taman Mount Austin, Johor Bahru kerana mengandungi unsur-unsur komunisme.

Selain memaparkan gambar pemimpin-pemimpin komunis, pekerja premis terbabit dikatakan turut berpakaian seperti tentera komunis China.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button