Berita Utama

Bot karam, 2 beranak dikhuatiri lemas

Mereka menaiki bot untuk pulang melihat rumah dinaiki air

KUANTAN, 20 Jamadilawal 1442H, Isnin – Seorang wanita dan anak perempuannya dikhuatiri lemas selepas bot dinaiki mereka karam di Sungai Jelai, Kampung Bertang, Lipis, kira-kira 248 kilometer dari sini hari ini, akibat arus deras.

Ketua Zon Tiga Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang Shahrulnizam Nasir berkata mangsa Rozi Omar, 52, dan Zakirah Ahmad Husin, 19, difahamkan menaiki bot dikemudi suami Rozi, Ahmad Husin Mad Aris, 52, bersama-sama seorang lagi anak, Nur Aina, 23 tahun.

“Mangsa difahamkan menaiki bot itu untuk pulang melihat keadaan rumah mereka yang dinaiki air semasa kejadian berlaku sekitar 12 tengah hari tadi,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Shahrulnizam berkata Ahmad Husin dan Nur Aina difahamkan berjaya menyelamatkan diri semasa kejadian manakala dua lagi mangsa dihanyutkan arus deras.

Pihak bomba dimaklumkan mengenai kejadian oleh wakil Jawatankuasa Kemajuan dan Kemakmuran Kampung (JKKK) Kampung Bertang dan buat masa ini, usaha mencari dan menyelamat sedang dijalankan. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button