Berita Utama

Hanya peminjam terjejas layak tangguh bayaran PTPTN

Permohonan boleh dikemuka di portal rasmi mulai esok hingga 31 Mac

BANGI, 20 Jamadilawal 1442H, Isnin – Hanya peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang hilang dan terjejas pendapatan sahaja layak mohon lanjutan penangguhan bayaran balik pinjaman.

Ketua Ekskutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid berkata, ia membabitkan peminjam yang diberhentikan pekerjaan atau pendapatan berkurangan.

Beliau berkata, peminjam yang layak boleh mengemukakan permohonan melalui portal rasmi PTPTN mulai esok sehingga 31 Mac ini, tanpa perlu sebarang dokumen sokongan.

“Pelanjutan penangguhan bayaran balik pinjaman PTPTN untuk tempoh tiga bulan akan bermula pada bulan yang sama dengan kelulusan permohonan yang diberikan PTPTN dan dua bulan ke hadapan di antara Januari hingga Mei 2021.

“Kelulusan penangguhan akan dimaklumkan kepada peminjam melalui emel yang dikemukakan dalam tempoh tiga hari bekerja dari tarikh peminjam mengemukakan permohonan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ahmad Dasuki turut mengingatkan peminjam untuk mengemas kini maklumat perhubungan yang tepat dan terkini bagi memastikan maklumat berkenaan kelulusan permohonan pelanjutan dapat disampaikan kepada mereka.

Sementara, bagi peminjam yang tidak terkesan boleh meneruskan pembayaran balik pinjaman melalui saluran yang disediakan.

“PTPTN mengucapkan terima kasih serta merakamkan penghargaan kepada semua peminjam yang membuat bayaran balik pinjaman demi kelangsungan pembiayaan PTPTN kepada pelajar lain pada masa akan datang.

“Pelanjtan tempoh penanguhan bayaran balik pinjaman ini menunjukkan kerajaan amat prihatin dan peka terhadap kekangan kewangan yang dihadapi oleh peminjam PTPTN,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button