Berita Utama

Tiada lagi karikatur komunis dalam restoran di JB: Polis Johor

Premis pernah dikena tindakan papan iklan tak patuhi syarat

BANGI, 20 Jamadilawal 1442H, Isnin – Polis Johor mengesahkan tiada lagi gambar dan karikatur berunsur parti komunis di sebuah restoran di Johor Bahru.

Restoran di Taman Mount Austin itu tular selepas didakwa mempunyai gambar serta karikatur berunsur parti komunis.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan telah membuat pemeriksaan di premis terbabit semalam.

“Hasil pemeriksaan yang dijalankan mendapati restoran tersebut telah berubah sama sekali tidak ada lagi imej-imej sepertimana yang diviralkan dan kini dalam proses pengubahsuaian di mana restoran tersebut dikenali sebagai Big Captain Stimboat.

“Hasil siasatan mendapati, pemilik restoran ini adalah lelaki Cina tempatan berumur 41 tahun menjelaskan bahawa gambar yang diviralkan adalah pada tahun 2019,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ayob berkata, siasatan juga mendapati bahawa isteri pemilik restoran terbabit adalah warganegara China.

Beliau berkata, premis itu sebelum ini telah diambil tindakan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) di atas kesalahan mempamerkan papan iklan perniagaan tidak mematuhi syarat.

Justeru, polis menjalankan siasatan di bawah Seksyen 505 (B) Kanun Keseksaan, Seksyen 47 Akta Pertubuhan 1966 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.

“Polis Johor menasihatkan orang ramai supaya tidak terlibat dalam apa-apa perbuatan yang mempromosikan ideologi komunisme dan sosialisme yang boleh membangkitkan sokongan terhadap perjuangan parti komunis.

“Tindakan tegas akan diambil mengikut peruntukan undang-undang sedia ada,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button