Berita Utama

UMNO tolak kerjasama dengan ‘pengkhianat’ seperti Bersatu

Ikrar tolak PH, tanding kerusi diduduki Bersatu dalam PRU15

BANGI, 20 Jamadilawal 1442H, Isnin – Ketua Penerangan Barisan Nasional (BN) Selangor, Isham Jalil percaya lebih ramai pemimpin akan meninggalkan Perikatan Nasional (PN) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Ini kerana, dakwanya, tidak ada sesiapa yang akan undi ‘pengkhianat’ kecuali pengkhianat itu sendiri.

Mengulas lanjut pandangan itu, Isham mendakwa, Bersatu hari ini terdiri daripada tiga kumpulan pengkhianat iaitu pengkhianat Pakatan Harapn (PH) dari Bersatu yang menjatuhkan kerajaan mereka sendiri.

Kedua, dakwanya, pengkhianat UMNO yang melompat parti ke Bersatu apabila BN hilang kuasa sebagai kerajaan.

Sementara ketiga, pengkhianat PKR daripada puak Datuk Seri Mohammed Azmin Ali yang melompat parti ke Bersatu apabila beliau bergaduh dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim, dakwa Isham.

“Bersatu juga dilaporkan cuba untuk mencuri ahli-ahli UMNO dan PAS di akar umbi. Orang-orang UMNO di semua peringkat telah lama sedar akan niat Bersatu untuk meruntuhkan UMNO.

“Sebab itu, rata-rata lebih 140 bahagian-bahagian UMNO yang bermesyuarat kelmarin telah membuat keputusan menolak kerjasama dengan Bersatu.

“Ini jelas menggambarkan pendirian akar umbi UMNO. Mereka tidak mahu bekerjasama dengan pengkhianat, dan mereka tidak rela dikhianati lagi nanti,” dakwanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Isham berkata, oleh kerana itu UMNO akan bertanding di semua kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dimenangi semasa Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lepas pada PRU akan datang.

Ini juga termasuk semua kerusi-kerusi Bersatu, kata Presiden Sukarelawan Malaysia itu.

“Kita tidak boleh biarkan kerusi dan kuasa diberi ke tangan pengkhianat. Pada PRU15 nanti rakyat akan menggelar mereka sebagai pengkhianat nasional.

“Dan jika kita beri laluan kepada mereka (Bersatu) pun mereka akan kalah kerana ditolak oleh rakyat, dan PH pula yang akan menang. 

“Kita tidak boleh benarkan perkara ini berlaku. Kita akan tolak PH dan juga pengkhianat-pengkhianat ini dalam PRU15 akan datang. Biar rakyat tentukan nasib pengkhianat-pengkhianat ini,” dakwanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button