Berita Utama

Vaksin COVID-19 selamat, tiada kesan sampingan jangka panjang

Telah diuji secara klinikal, dikawal selia NPRA Kementerian Kesihatan

KUALA LUMPUR, 20 Jamadilawal 1442H, Isnin – Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) menegaskan vaksin COVID-19 yang akan diguna pakai nanti tidak memberi kesan sampingan memudaratkan kepada kesihatan untuk jangka masa panjang.

Timbalan Menterinya Ahmad Amzad Hashim berkata vaksin itu telah diuji secara klinikal dan akan dikawal selia Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) Kementerian Kesihatan.

“Semua vaksin mempunyai kesan sampingan, yang penting kesan sampingan itu tidak teruk dan berbahaya, namun setakat ini berdasarkan data yang kami terima tidak ada kesan serius terhadap vaksin ini.

“Sebahagian besar kesan sampingan adalah sementara sahaja misalnya rasa sakit apabila disuntik, sebahagiannya mungkin demam atau loya,” katanya ketika ditemui selepas menjadi tetamu program Jendela Fikir terbitan Bernama Radio hari ini.

Ahmad Amzad berkata pihaknya akan memberi pendedahan dan menyalurkan maklumat yang tepat berkenaan vaksin bagi meyakinkan dan membuang keraguan masyarakat, sekali gus mencapai sasaran 70 peratus rakyat menerima vaksin COVID-19 pada tahun ini.

Sehingga ini Malaysia telah menandatangani perjanjian dengan Pfizer dan BioNTech untuk memperoleh 12.8 juta dos vaksin. Negara juga bakal menerima 6.4 juta lagi dos vaksin daripada AstraZeneca selain daripada beberapa lagi pembekal. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button