Dunia

Waspada! Gunung berapi Sinabung meletus 2 kali dalam tempoh sehari

Muntah abu panas setinggi 1 kilometer, risiko berlaku aliran lava

JAKARTA, 20 Jamadilawal 1442H, Isnin – Gunung berapi Sinabung di Sumatera Utara meletus pada Ahad selepas memuntahkan abu panas setinggi satu kilometer.

Ketua Pasukan Pemerhati Sinabung, Armen Putra berkata, letusan pertama berlaku pada 9.34 pagi waktu tempatan, sementara kali kedua sekitar jam 12.16 tengah hari. 

Susulan itu, pihaknya mengarahkan penduduk setempat untuk kekal berhati-hati, memandangkan amaran di tahap waspada sudah ditukar kepada peringkat ketiga. 

“Jangan melakukan sebarang aktiviti di kawasan yang telah diarah berpindah, termasuk daerah di dalam radius tiga kilometer dari puncak Gunung Sinabung,” katanya.

Pada masa sama, Armen turut mengingatkan penduduk supaya memakai pelitup muka terutama ketika berada di luar untuk mengurangkan menyedut abu dari gunung berkenaan.

Beliau turut menasihati orang ramai untuk mendapatkan kemudahan air bersih, selain memastikan air yang disimpan ditutup bagi mengelakkan tercemar daripada abu gunung berapi.

“Penduduk juga harus berwaspada terhadap kemungkinan berlaku aliran lava,” katanya. –  Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button