Berita Utama

COVID-19 bukan alasan tiada PRU15 dalam masa terdekat

Dunia miliki vaksin boleh melindungi manusia daripada jangkitan

KUALA LUMPUR, 21 Jamadilawal 1442H, Selasa – Tidak ada alasan mengapa Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tidak boleh diadakan dalam masa terdekat.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, jika COVID-19 mahu dijadikan sebagai alasan ia nyata sesuatu yang tidak tepat.

Ini kerana, katanya, dunia sudah pun memiliki vaksin yang boleh melindungi manusia daripada dijangkiti wabak pandemik itu.

“Saya melihat COVID-19 bukan lagi alasan untuk kerajaan Perikatan Nasional (PN) tidak adakan PRU lebih awal, kerana kita dimaklumkan telah ada vaksin.

“Cuma, kita persoalkan kenapa Malaysia lewat menerima vaksin, sedangkan 50 negara di dunia ini sudah mula menyuntik vaksin kepada rakyatnya sejak Disember lalu.

“Kenapa di Malaysia hanya bulan Februari ini hendak suntik vaksin kepada satu juta rakyatnya. Kerajaan kena bertindak laju sikit,” katanya dalam sidang media di PWTC, hari ini.

Ahmad berkata, UMNO dan seluruh jentera parti kena bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan akan berlaku PRU15.

“Kita tidak perlu takut diadakan PRU kerana kerajaan PN ini sebenarnya betul-betul berada di atas garisan, dan nak jadi kerajaan kena 111 + 1 baru boleh jadi kerajaan.

“Tetapi, kerajaan ini adalah kerajaan 111 + 1, dengan erti kata, kerajaan paling tipis majoriti dalam dunia atau kerajaan tidak stabil. Ini kena akui semua pihak,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button