Berita Utama

Perhiasan komunis: Timbalan Menteri Perpaduan minta jangan kecohkan

Dakwa isu dapat diselesai dengan mudah tanpa buka 'luka lama'

BANGI, 21 Jamadilawal 1442H, Selasa – Timbalan Menteri Perpaduan Negara, Datuk Seri Ti Lian Ker meminta semua pihak bertenang berhubung insiden pemilik restoran di Pulau Pinang yang sedang disiasat kerana didakwa mempunyai hiasan bertemakan komunis di premis perniagaannya.

Beliau berkata, kejadian seperti itu dilokalisasi dan diasingkan serta dapat diselesaikan dengan mudah tanpa perlu membuka semula ‘luka lama’.

Katanya, kementerian mempunyai orang tengah yang dapat menangani masalah tersebut dan menghentikannya sehingga tidak dieksploitasi atau disensasikan oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Beliau yang juga Naib Presiden MCA menambah, sementara pemberontakan komunis meninggalkan tanda hitam dalam sejarah Malaysia, ia adalah bab yang sejak itu dianggap tertutup dan fokus sekarang harus diberikan kepada lebih banyak cabaran serta isu semasa.

“Komunisme adalah luka lama dan kita telah menutup bab itu. Hari ini, kita menjalin hubungan diplomatik yang baik dan erat dengan China.

“Kita harus bergerak ke hadapan dan tidak meninjau kembali isu lama,” katanya seperti dilapor The Star, semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai tindakan pihak berkuasa terhadap sebuah restoran di Bukit Mertajam yang mempamerkan karya seni menyerupai poster propaganda komunis di China pada Sabtu lepas.

Sebelum ini, polis menyerbu dan merampas pelbagai gambar dan cawan yang mempamerkan karikatur berunsurkan wajah pemimpin komunis di dua premis restoran di Pulau Pinang.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang, Senior Asisten Komisioner, Rahimi Ra’ais berkata, siasatan awal mendapati restoran di Juru dan di Pulau Tikus adalah kepunyaan pemilik yang sama iaitu seorang lelaki tempatan berusia 40 tahun.

Katanya, polis telah membuka kertas siasatan berhubung tindakan pemilik sebuah restoran di sini menghiasi gambar pemimpin era revolusi kebudayaan China serta wajah pemimpin Komunis, Mao Tze Tong pada dinding premisnya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button