Berita Utama

20 MP DAP sertai MCA?

MCA alu kemasukan tokoh politik punya matlamat, idea sama seperti mereka

BANGI, 21 Jamadilawal 1442H, Selasa – Khabar angin mengenai 20 Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan (ADUN) DAP dari seluruh negara akan menyertai MCA kini bertiup kencang.

Menurut portal kwongwah.com.my, antara mereka yang didapati tersenarai adalah ADUN Malim Nawar, Leong Cheok Keng yang diketahui umum tidak mempunyai hubungan baik dengan pemimpin DAP Perak dan ADUN Pokok Asam, Leow Thye Yih.

Ura-ura turut menyatakan, Jawantankuasa Pusat MCA telah menerima kemasukan ramai ADUN dan Ahli Parlimen DAP pada minggu lalu, termasuk dua orang ADUN dari Perak.

Difahamkan, tindakan ADUN Tronoh, Paul Yong Choo Kiong yang keluar dari DAP menjadi punca tersebarnya khabar angin ini.

Tambahan pula, tindakan Cheok Keng, Choo Kiong dan Thye Yih yang menjadi orang pertama membangkang Ahli Parlimen Teluk Intan, Nga Kor Ming telah menyebabkan hubungan mereka menjadi retak.

Sekiranya khabar angin ini benar, Cheok Keng dan Thye Yih akan menjadi ADUN Perak yang mewakili MCA.

Difahamkan lagi, Cheok Keng telah menerima kunjungan daripada seorang individu, yang mengajaknya turut serta bermesyuarat bersama Jawatankuasa Pusat MCA bagi membincangkan hal berkaitan lompat parti menyertai MCA.

Menerusi mesyuarat MCA Pusat pada Disember tahun lalu, lebih daripada 80 peratus bersetuju dengan penyertaan Cheok Keng dalam MCA, selain tiada syarat dikenakan kepada beliau menyertai parti itu.

Tahun lalu, kerajaan Perak telah melantik 13 penghulu dan ketua kampung baru di Kampar dan dianggarkan sembilan daripadanya terdiri daripada mereka yang menyokong Cheok Keng.

Hanya empat orang calon yang dicadangkan oleh MCA, sekali gus mengundang perasaan tidak puas hati dalam kalangan akar umbi mengenai keputusan itu.

Penyertaan Cheok Keng dalam MCA membuatkan MCA Kampar tergugat kerana mereka bakal kehilangan hak untuk meletakkan calon Malim Nawar pada pilihan raya akan datang, selain merosakkan rancangan selama dua tahun.

Bagaimanapun, sumber lain menyatakan, Cheok Keng tidak akan bertanding di kawasan sama selepas menyertai MCA.

Sementara itu, Timbalan Presiden MCA dan Pengerusi Jawatankuasa Bersama Negeri Perak, Datuk Dr Mah Hang Soon dalam satu kenyataan berkata, MCA Perak mengalu-alukan mana-mana tokoh politik yang mempunyai cita-cita, matlamat dan idea sama seperti MCA untuk menyertai parti itu.

PAUTAN BERKAITAN: https://www.kwongwah.com.my/20210104/%E4%BC%A020%E7%81%AB%E7%AE%AD%E8%AE%AE%E5%91%98%E8%B7%B3%E6%A7%BD%E9%A9%AC%E5%8D%8E-%E5%8C%85%E6%8B%AC%E6%A2%81%E5%8D%93%E7%BB%8F%E5%BB%96%E6%B3%B0%E4%B9%89/

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button