Berita Utama

Gesa KDN siasat gerakan subversif pro komunis

Cari dalang segera, bongkarkan sebelum terlambat

BANGI, 21 Jamadilawal 1442H, Selasa – Kementerian Dalam Negeri (KDN) digesa melakukan siasatan terperinci di seluruh negara berhubung gerakan subversif pro komunis.

Desakan disuarakan Jawatankuasa Gerakan Massa Pemuda Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Mohd Soufi Anual itu susulan serbuan pihak polis terhadap beberapa restoran yang memaparkan gambar pemimpin komunis serta elemen komunisme.

Kelmarin, dua restoran di Georgetown, Pulau Pinang disiasat selepas pemiliknya menghias premis miliknya masing-masing di Auto City dan Pulau Tikus dengan kertas dinding memaparkan elemen komunisme dan pemimpin komunis.

Semalam, Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) juga menurunkan papan iklan sebuah premis makanan di Taman Mount Austin, Johor Bahru kerana mengandungi unsur-unsur komunisme.

Selain memaparkan gambar pemimpin-pemimpin komunis, pekerja premis terbabit dikatakan turut berpakaian seperti tentera komunis China.

Selepas di Pulau Pinang dan Johor, sebuah restoran makanan terkenal di Jonker Walk, Jalan Hang Jebat, Melaka pula diserbu polis yang merampas 18 potret mirip pemimpin Parti Komunis China, Mao Zedong.

Mohd Soufi menegaskan bahawa gerakan subversif pro komunis ini bukan perkara main-main atau serkap jarang.

“Kesannya sangat dirasai sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Petandanya terlampau banyak.

“Justeru, kami menggesa pihak Kementerian Dalam Negeri melakukan siasatan terperinci seluruh negara.

“Magnitud gerakan subversif ini besar. Jangan pandang enteng,” tegasnya dalam kenyataan di Facebook hari ini.

Pada masa sama, beliau menggesa pihak berkuasa mencari dalangnya dan segera menghapuskan gerakan subversif pro komunis ini sebelum negara tumbang.

“Harapnya kerajaan dapat bertindak dengan kadar segera dan bongkarkan sebelum terlambat,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button