Berita Utama

Komuniti muslim di Jerman bimbang Islamophobia semakin meningkat

Kumpulan neo-Nazi, pembangkang timbulkan ketakutan bagi peroleh sokongan

BERLIN, 21 Jamadilawal 1442H, Selasa – Komuniti Turki-Muslim Jerman semakin bimbang dengan peningkatan jenayah kebencian Islamophobia di negara itu, kata tokoh kanan kepada Anadolu Agency.

Presiden Persatuan Turki-Muslim IGMG, Kemal Ergun berkata, semakin banyak masjid menjadi sasaran ancaman, vandalisme, mahupun pembakaran dalam beberapa bulan terakhir.

“Sekurang-kurangnya 122 masjid menjadi sasaran serangan seperti itu tahun lalu,” katanya, sambil menambah terdapat puluhan masjid menerima banyak ancaman bom oleh neo-Nazi atau kumpulan pelampau lain, hingga mencetuskan kebimbangan masyarakat.

“Kami meminta pihak berkuasa polis untuk melakukan siasatan yang lebih berkesan dan menangkap pelaku serangan ini,” katanya.

Ergun, yang mengetuai salah satu organisasi Turki-Muslim terbesar di negara itu, mengatakan umat Islam mengalami permusuhan dan diskriminasi dalam kehidupan seharian mereka kerana timbulnya prasangka anti-Muslim.

Beliau mengatakan bahawa wanita Muslim khususnya yang memakai tudung sering diganggu secara lisan di jalanan, dan insiden serangan fizikal juga dilaporkan meningkat.

Menurut angka rasmi, polis mencatatkan 632 jenayah Islamofobia di Jerman dari Januari hingga November 2020.

Ini termasuk penghinaan, surat ancaman, gangguan ketika melakukan ibadah, serangan fizikal, dan kerosakan harta benda.

Angka sebenar diyakini lebih tinggi, kerana banyak mangsa tidak mengajukan aduan jenayah kepada polis, terutama disebabkan oleh ketidakpercayaan mereka terhadap penguatkuasaan undang-undang.

Durmus Yildirim, ketua ATIB, salah satu organisasi budaya Turki-Muslim terbesar di Jerman, mengkritik ahli politik populis sayap kanan kerana menghasut kebencian dan diskriminasi terhadap pendatang dan Muslim.

“Kami menggesa hentikana retorik rasis dan populis ini, usaha harus dilakukan untuk hidup bermasyarakat secara damai,” katanya kepada Agensi Anadolu,m.

Durmus berkata, komuniti Turki kira-kira 3 juta orang – tidak akan menyerah kepada ancaman oleh kumpulan dan pihak kanan.

“Kami adalah sebahagian dari Eropah, kami tinggal di sini. Generasi ketiga, keempat kami dilahirkan dan dibesarkan di Jerman, ia juga menjadi tanah air kita,” katanya.

Sebagai negara yang mempunyai lebih daripada 80 juta rakyat, Jerman mempunyai penduduk Muslim kedua terbesar di Eropah Barat selepas Perancis. Di antara 4.7 juta umat Islam di negara ini, 3 juta daripadanya berasal dari Turki.

Negara ini menyaksikan perkauman dan Islamophobia yang semakin meningkat dalam beberapa tahun kebelakangan ini, didorong oleh propaganda kumpulan neo-Nazi dan pembangkang kanan, parti AfD yang berusaha menimbulkan ketakutan terhadap umat Islam dan pendatang untuk memperoleh lebih banyak sokongan. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button