Berita UtamaDunia

Lubnan umum perintah berkurung tiga minggu

Cabaran pandemik tahap serius ancam nyawa, hospital tak cukup katil

BEIRUT, 21 Jamadilawal 1442H, Selasa – Lubnan mengumumkan perintah berkurung selama tiga minggu – termasuk waktu malam – bagi membendung kenaikan jangkitan COVID-19 yang mengancam akan membanjiri hospital di negara yang sudah menghadapi krisis kewangan.

Menteri Kesihatan sementara, Hamad Hasan berkata, perintah berkurung akan bermula pada Khamis ini hingga 1 Februari depan, dengan perincian lebih lanjut esok mengenai sektor mana yang akan dikecualikan.

Perintah berkurung merangkumi dari jam 6 petang hingga 5 pagi.

“Jelas bahawa cabaran pandemik telah sampai pada tahap yang serius mengancam nyawa Lubnan kerana hospital tidak dapat menyediakan katil,” kata Hasan kepada wartawan selepas perjumpaan dengan jawatankuasa menteri COVID-19.

Pada Ahad lepas, Lubnan mencatatkan 2,870 jangkitan baharu menjadikan jumlahnya kepada 189,278 kes dan 1,486 kematian sejak 21 Februari tahun lalu..

Perintah terbaharu itu berlaku di tengah-tengah kebimbangan mengenai kenaikan pengangguran, inflasi dan kemiskinan.

Lubnan menghadapi krisis kewangan yang menjejaskan mata wang, melumpuhkan bank, dan membekukan simpanan pendeposit.

Bekalan perubatan juga berkurang kerana dolar semakin sukar diperoleh.

Unit Rawatan Rapi (ICU) sebelum ini mencapai tahap kritikal pada musim panas ketika virus itu merebak selepas letupan dasyat di pelabuhan yang menghancurkan Beirut, membunuh 200 orang dan memusnahkan beberapa hospital.

Pematuhan jarak sosial dan langkah pencegahan lain telah menjadi lemah dan ketika ini ada kebimbangan akan peningkatan kes yang ketara selepas cuti Krismas dan Tahun Baharu. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button