Berita Utama

MCA sanggah UMNO! Pemecatan dalam BN perlu ikut Perlembagaan

Perlu dipersetujui secara konsensus di dalam Mesyuarat Dewan Tertinggi BN

BANGI, 21 Jamadilawal 1442H, Selasa – Sebarang pelantikan dan pemecatan jawatan dalam Barisan Nasional (BN) perlu dilakukan berlandaskan Perlembagaan parti itu.

MCA dalam satu kenyataan hari ini berkata, pencalonan itu haruslah dibentang serta dipersetujui secara konsensus di dalam Mesyuarat Dewan Tertinggi BN.

Begitu juga dengan pemecatan sebarang jawatan dalam BN perlu membabitkan perbincangan semua parti komponen BN yang lain.

“Pada hemat parti MCA, sebarang pelantikan ke jawatan dalam BN, ianya perlu dan secara konvensinya pencalonan ini haruslah dibentangkan serta dipersetujui secara konsensus di dalam Mesyuarat Dewan Tertinggi BN.

“Begitu juga dengan sebarang pemecatan mana-mana pihak daripada jawatan seperti Setiausaha Agung dan Bendahari Agung BN,” katanya.

MCA mengulas laporan media berhubung pemecatan Tan Sri Annuar Musa daripada jawatan Setiausaha Agung BN.

Kedudukan Annuar diganti oleh Datuk Seri Ahmad Maslan yang juga Setiausaha Agung UMNO.

“Pucuk pimpinan MCA terkilan dengan laporan media bahawa Tan Sri Annuar Musa telah dipecat sebagai Setiausaha Agung Barisan Nasional.

“Pimpinan Tertinggi MCA hanya mengetahui perkara ini melalui laporan media dan ianya tidak pernah dirundingkan sesama parti komponen dalam BN mahupun diputuskan oleh Dewan Tertinggi BN.

“Setakat ini, MCA masih tidak dapat mengesahkan kesahihan berita mengenai penyingkiran Tan Sri Annuar Musa sebagai Setiausaha Agung BN,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button