Berita Utama

Parti politik kerajaan hilang arah, sudah seperti normalisasi negara Arab-Israel?

Mereka lupa Perlembagaan yang daulatkan Melayu, Islam, Raja-Raja

BANGI, 21 Jamadilawal 1442H, Selasa – Kemelut politik yang tidak berkesudahan menjadi bukti jelas parti-parti Melayu dan Islam pada hari ini sudah hilang arah.

Lebih mendukacitakan apabila parti-parti politik dalam kerajaan sekarang seolah-olah mengorak langkah sama seperti normalisasi negara Arab dengan Israel yang menjadi buah mulut sejak akhir-akhir ini.

Perkara itu dapat dilihat apabila ada yang mula membuat perbincangan dengan parti pembangkang yang cauvinis dan sekular, menyepi dari tuntutan-tuntutan yang begitu mereka lantang sebelum berkuasa.

Atas kononnya kepentingan negara dan perpaduan kaum, mereka mula meratib konsep yang dibawa oleh pembangkang demi kuasa.

Bukan sahaja lupa tugas mereka sebagai khalifah, Presiden Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (BERJASA), Datuk Dr Ir Badrulhisham Abdul Aziz berkata, mereka juga lupa Perlembagaan negara yang dengan terang dan jelas mendaulatkan Melayu, Islam dan Raja-Raja.

“Bukan sahaja perjuangan membela rakyat sudah tidak ada dalam kamus mereka, malah perjuangan menegakkan sebuah negara Islam yang mendapat keredaan Allah tiada lagi dalam perancangan dan agenda mereka.

“Musuh-musuh Islam sedang bersenang lenang dan bertepuk tangan melihat kejayaan perancangan mereka dalam melemahkan perjuangan dan juga melihat kepada perpecahan di kalangan mereka disebabkan ego dan perebutan kuasa di antara mereka,” katanya dalam kenyataan.

Atas dasar itu, beliau meminta rakyat Malaysia terutamanya orang Melayu Islam istiqamah dalam perjuangan untuk menegakkan kalimah Allah dan usaha mengukuhkan perpaduan dan persaudaraan.

“Kita kena bangun untuk mengeluarkan umat dari kemelut hari ini dan membina satu kekuatan politik, ekonomi, sains teknologi dan sosial demi survival umat pada masa akan datang.

“Jangan beri peluang lagi kepada parti-parti yang hanya memikirkan kuasa semata-mata, yang berusaha melepaskan diri dari sistem keadilan; membawa agenda asing; baik mereka yang memerintah selama 60 tahun atau mereka yang berkuasa selama 22 bulan.

“Itu kerana mereka bukanlah pilihan terbaik untuk rakyat Malaysia dalam menerajui kepimpinan negara tercinta ini,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button