Berita Utama

Sorok perkahwinan kedua daripada isteri tindakan bacul

Tipu maklumat permohonan poligami jejas institusi kehakiman syariah

BANGI, 21 Jamadilawal 1442H, Selasa – Perlakuan menyorokkan perkahwinan kedua dari isteri pertama adalah perbuatan yang sangat tidak bertanggungjawab dan bacul, tegas Ketua Wanita Ikatan Muslimin (ISMA), Dr Suriani Sudi.

Beliau berkata demikian mengulas kewujudan sindiket poligami atau ‘scam poligami’ dipercayai didalangi orang di dalam institusi kehakiman syariah negara.

Sindiket tersebut dikesan menyediakan jalan pintas kepada lelaki yang ingin berkahwin lebih daripada satu tanpa pengetahuan isteri pertama.

Dr Suriani menegaskan, Wanita ISMA tidak menolak poligami, tetapi urusan tersebut perlu diuruskan dengan harmoni dan sejahtera tanpa sebarang penipuan atau penganiayaan. 

“Kalaupun ia boleh dilakukan, pembinaan rumah tangga kedua tidak seharusnya meruntuhkan rumah tangga pertama yang telah dibina,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.

Pada masa sama, beliau berkata, para suami juga seharusnya bertanggungjawab apabila ingin mendirikan rumah tangga yang kedua. 

Katanya, mereka harus sedar bahawa perkahwinan adalah penuh dengan tanggungjawab. 

“Berterus teranglah dengan isteri pertama kerana ia adalah tanda suami menghargai pengorbanan isteri pertama yang banyak mencurahkan pengorbanan pada saat sukar dan senang,” katanya lagi.

Kesal dengan kewujudan sindiket seperti itu, Dr Suriani berkata, kegiatan yang membabitkan penipuan maklumat dalam dokumen permohonan poligami itu dikhuatiri boleh menjejaskan institusi kehakiman syariah di Malaysia jika dibiarkan terus berleluasa.

“Tindakan tidak bertanggungjawab seperti itu hanya akan memporak-perandakan sistem kekeluargaan dan menjejaskan kredibiliti sistem kehakiman syariah di Malaysia,” katanya.

Berharap sindiket ini dihentikan segera, Dr Suriani menggesa pihak berkuasa mencari hingga ke lubang cacing mereka yang terlibat dan ejen yang menjalankan perbuatan yang terkutuk itu. 

“Mereka tidak seharusnya terpedaya semata-mata mahukan ganjaran yang tidak seberapa yang ditawarkan berbanding keruntuhan sebuah masjid yang telah pun dibina.

“Pihak yang berkaitan seharusnya memperkemaskan dan memperketatkan lagi prosedur permohonan poligami agar tidak ada ruang daripada para suami yang tidak bertanggungjawab dan pihak pihak lain untuk mengambil kesempatan atas perkara ini. 

“Seperti di dalam kes sekarang ini, satu persoalan bagaimana tandatangan isteri pertama boleh diperolehi tanpa pengetahuannya. Bagi saya, kaedah ini perlu diperkemas,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button