Berita Utama

Tiada isu beli ahli dalam GRS

'Terpulang kepada rakyat untuk pilih parti mana mereka mahu'

KOTA KINABALU, 21 Jamadilawal 1442H, Selasa – Tiada masalah perebutan atau pembelian ahli dalam parti-parti yang membentuk Gabungan Rakyat Sabah (GRS), kata Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin.

Beliau berkata perkara itu tidak timbul kerana negara mengamalkan demokrasi politik.

“Terpulang kepada rakyat untuk pilih parti mana yang mereka mahu, dan tiada isu perebutan atau membeli ahli, bukan senang mahu beli ahli (kerana) mereka tahu mana parti yang mereka mahu pilih.

“Saya minta semua pihak dalam GRS memberi fokus dalam usaha membantu rakyat, ini masa kita membantu rakyat dan jangan lagi kita berlaga-laga pasal keahlian, jangan buang masa untuk fikir masalah yang tidak memberi keuntungan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Amanat dan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) JKR Sabah di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian apabila diminta mengulas mengenai isu ‘pembelian ahli’ parti yang dilaporkan menjadi pertikaian antara beberapa pemimpin UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) baru-baru ini.

GRS merangkumi persepakatan Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan Parti Bersatu Sabah (PBS), membentuk kerajaan negeri Sabah selepas pilihan raya negeri ke-16 September lepas. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button