Berita Utama

Tinggalkan PN? UMNO putuskan esok

Annuar tidak disingkir sebaliknya beliau hanya digantikan

KUALA LUMPUR, 21 Jamadilawal 1442H, Selasa – Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO akan terlebih dahulu memuktamadkan sebarang keputusan berkaitan Ahli Parlimen UMNO, yang diarah melepaskan jawatan sama ada dalam kerajaan atau agensi berkaitan kerajaan (GLC) sebelum Februari.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, beliau enggan mengesahkan sama ada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengeluarkan arahan itu pada mesyuarat bersama Ketua Bahagian UMNO hari ini.

Terdahulu, media tempatan melaporkan Ahmad Zahid mengarahkan kesemua Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) untuk ‘angkat kaki’ dari kerajaan Perikatan Nasional (PN), sebelum Februari ini.

Mengulas lanjut, Ahmad tidak menafikan laporan berkenaan selain menyatakan bahawa perkara itu perlu dimuktamadkan ketika mesyuarat MKT UMNO esok.

“Itu hanya laporan, apa-apa yang kita bincang tadi kita akan bawa ke Majlis Kerja Tertinggi.

“Jadi, keputusan muktamad, apa juga yang dibincangkan adalah MKT esok malam,” katanya seperti dilapor Suara.TV.

Dalam perkembangan lain, Ahmad menegaskan bahawa Tan Sri Annuar Musa tidak disingkirkan sebaliknya hanya digantikan.

“Tan Sri Annuar Musa diganti. Biasanya Setiausaha Agung UMNO juga merupakan Setiausaha Agung BN.

“Saya kira itu antara sebabnya. Malah saya juga diberi tugas untuk menjadi Setiausaha Agung Muafakat Nasional (MN).

“Saya ingin tegaskan ia adalah mengganti seperti yang disebut Presiden sebut tadi. Saya cuma mengganti,” katanya.

Sebelum ini, Ahmad mengesahkan beliau dilantik sebagai Setiausaha Agung BN bagi menggantikan Annuar berkuat kuasa serta-merta.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button