Berita Utama

130 anggota polis Terengganu dikena tindakan tatatertib

Seorang Asisten Superintendan dibuang kerja setelah sabit kesalahan

KEMAMAN, 22 Jamadilawal 1442H, Rabu – Seramai 130 pegawai dan anggota polis di Kontinjen Terengganu telah dikenakan tindakan tatatertib atas pelbagai kesalahan sepanjang tahun lalu.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Roslee Chik berkata, ia melibatkan 12 pegawai kanan, 112 anggota berpangkat rendah dan enam pegawai awam.

Katanya, mereka dikenakan tindakan tatatertib atas pelbagai kesalahan termasuk melakukan jenayah.

Roslee berkata, antara jenayah paling serius iaitu seramai 11 daripada mereka disiasat atas kesalahan dadah.

“Manakala, lima daripada anggota dan pegawai polis termasuk seorang berpangkat Asisten Superintendan terpaksa dibuang kerja setelah siasatan tatatertib menyabitkan kesalahannya.

“Seramai 17 orang pula menjalani hukuman tahan kerja manakala sembilan lagi dikenakan hukuman pergantungan kerja sepanjang tahun 2020,” katanya.

Beliau berkata demikian seperti dilapor Kosmo selepas majlis penyampaian pangkat anggota polis, hari ini.

Pada masa sama, beliau menegaskan, pihaknya tidak akan berkompromi jika melibatkan salah laku anggota.

“Tiada kompromi terhadap sebarang pelanggaran salah laku pegawai dan anggota polis kerana ia mencemarkan imej badan keselamatan tersebut,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button