Berita UtamaIstimewa

Di mana parti Melayu bila MCA celupar dalam isu komunis?

Jangan garang sesama Melayu saja, MCA sudah tahap cacing naik ke mata

BANGI, 22 Jamadilawal 1442H, Rabu – Belum reda isu pemilik restoran yang didakwa mempunyai hiasan bertemakan komunis di premis perniagaannya, kini Timbalan Menteri Perpaduan (MCA) pula bersuara dalam isu tersebut dengan mengatakan bahawa ia tidak perlu dikecoh-kecohkan. 

Membidas kenyataan itu Presiden gerakan Islam, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Haji Aminuddin Yahaya berkata, respon Datuk Seri Ti Lian Ker tidak mencerminkan posisi beliau sebagai seorang timbalan menteri, apatah lagi yang memegang portfolio perpaduan. 

“Tidakkah beliau sedar yang masalah ideologi komunis inilah yang telah memecahbelahkan perpaduan kita di Malaysia selama berdekad-dekad lamanya? 

“Masih segar dalam ingatan orang Melayu bagaimana nenek moyang mereka diseksa, diperkosa, disembelih dan dipaksa untuk murtad oleh komunis. 

“Kita tidak lupa juga bagaimana komunis juga antara dalang utama dalam rusuhan kaum 13 Mei 1969 dahulu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Aminuddin berkata, beliau cukup bersimpati dengan nasib veteran tentera yang banyak berkorban tetapi pemimpin negara sendiri melecehkan sahaja mengenai isu komunis ini. 

“Di manakah maruah perajurit kita yang telah berkorban nyawa melawan komunis dahulu apabila pemimpin tinggi kerajaan sendiri yang berkata sedemikian rupa? 

“Saya sudah beri amaran dari awal lagi, bahawa beliau ini memang tidak patut dilantik sebagai Timbalan Menteri Perpaduan kerana memang sudah banyak isu dan kontroversi beliau mengenai Melayu dan Islam yang pernah saya ulas dengan panjang lebar dahulu,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Aminuddin menggesa parti-parti Melayu terutamanya UMNO untuk membuka mulut mengenai keceluparan MCA pula. 

“Jangan hanya berani dan garang sesama parti Melayu sahaja. MCA sudah tahap cacing naik ke mata, yang patut kita rasa tercabar. 

“Janganlah hanya rasa tercabar dengan perebutan jawatan sahaja,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button