Berita Utama

KWSP lulus 2.5 juta permohonan i-Sinar babit RM19.62 bilion

Pembayaran RM10.07 bilion dibuat berperingkat mulai semalam

 

KUALA LUMPUR, 22 Jamadilawal 1442H, Rabu – Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) telah meluluskan 2.5 juta daripada 3.88 juta permohonan i-Sinar di bawah Kategori 1, melibatkan pengeluaran berjumlah RM19.62 bilion setakat 4 Januari 2021.

KWSP dalam satu kenyataan hari ini berkata pembayaran bulan pertama berjumlah RM10.07 bilion akan dibuat secara berperingkat mulai 5 Januari 2021.

“KWSP maklum bahawa sebahagian besar daripada 1.4 juta permohonan yang masih belum diluluskan, berada di dalam kriteria Kategori 2, yang akan dibuka untuk permohonan mulai 11 Januari 2021. Bagi ahli yang termasuk dalam Kategori 2, mereka disarankan untuk menyediakan dokumen yang berkaitan seperti slip gaji rasmi (yang memperincikan jumlah gaji termasuk elaun lebih masa dan komisen) dan/atau penyata bank bagi dimuat naik melalui i-Sinar Online.

Sejumlah 701 permohonan tidak dapat diluluskan atas beberapa sebab seperti perbezaan nombor akaun bank, permohonan yang dibuat untuk ahli yang telah meninggal dunia atau ahli telah pun berumur 55 tahun dan layak bagi mengeluarkan kesemua simpanan KWSP mereka.

“KWSP seterusnya memberi jaminan kepada ahli bahawa dana itu telah menyediakan langkah-langkah untuk menghalang pihak ketiga yang tidak bertanggungjawab atau penipu daripada membuat penyerahan palsu dan mendatangkan bahaya kepada simpanan persaraan ahli,” katanya.

Oleh itu, KWSP menasihatkan ahlinya supaya mengelak daripada berkongsi foto atau dokumen penyerahan atau pengeluaran i-Sinar mereka di media sosial, kerana ini akan mendedahkan mereka kepada potensi penipuan. -Bernama

 

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button