Berita Utama

44 peratus pengundi Malaysia tak setuju UMNO keluar PN

Kajian Merdeka Center berdasar pandangan ekonomi, kepimpinan, isu semasa

KUALA LUMPUR, 22 Jamadilawal 1442H, Rabu – Sebanyak 44 peratus pengundi di negara ini tidak bersetuju dengan keputusan UMNO untuk keluar dari Perikatan Nasional (PN).

Manakala 31 peratus pengundi bersetuju dan 25 peratus lagi menyatakan ‘tidak tahu’ atau enggan memberi sebarang komen.

Keputusan berkenaan diperoleh melalui kajian dijalankan Merdeka Center, yang menyentuh pandangan mereka terhadap ekonomi, kepimpinan dan isu semasa.

“Berdasarkan sifat polarisasi dalam politik khasnya dalam kalangan pengundi, 31 peratus setuju dengan keputusan UMNO untuk berpisah daripada Perikatan Nasional, manakala 44 peratus tidak bersetuju,” katanya seperti dipetik Astro Awani.

Jelas kenyataan itu, kajian berkenaan dikendalikan berdasarkan demografi etnik, akses kepada internet, umur dan jantina, pekerjaan, pendapatan bulanan serta kecenderungan politik.

Katanya, jumlah responden yang menyatakan tidak setuju sekiranya UMNO terpisah dari PN kebanyakan terdiri daripada pengundi Melayu, dengan 62 peratus tidak bersetuju.

“Manakala, hanya 21 pengundi Melayu yang bersetuju,” tambah kenyataan itu.

Dalam kajian yang sama, data undian juga menunjukkan 41 responden keseluruhannya tidak bersetuju sekiranya UMNO bergerak sendirian dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang.

“51 peratus pengundi Melayu tidak bersetuju sekiranya parti itu (UMNO) menghadapi PRU secara sendirian,” jelas kenyataan itu.

Kajian itu dijalankan bagi mengenal pasti sama ada pengundi bersetuju sekiranya UMNO terpisah dari gabungan PN dan sekiranya UMNO perlu bergerak secara sendirian.

Terdahulu, sebahagian besar ahli UMNO pada minggu lalu berpendirian untuk keluar daripada gabungan PN susulan tindakan beberapa bahagian telah mengemukakan ketetapan mereka sewaktu perjumpaan Ahli Majlis Tertinggi UMNO minggu lalu.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button