Berita Utama

13 kluster baharu COVID-19 dikesan

10 daripadanya libat tempat kerja di KL, Selangor, Johor, Sabah

PUTRAJAYA, 22 Jamadilawal 1442H, Rabu – Malaysia hari ini melaporkan 13 kluster baharu, iaitu kluster harian tertinggi, dengan 10 daripadanya melibatkan tempat kerja di Kuala Lumpur, Selangor, Johor dan Sabah, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata 10 kluster itu ialah Kluster Dataran Utas, Kluster Casa Permai, Kluster Firma, Kluster Persiaran Teknologi, Kluster Bersepadu, Kluster Jalan Padu, Kluster Kampung Pitas, Kluster Ikan Emas, Kluster Kayuh dan Kluster Jalan Seputeh.

Menurut beliau, kluster tersebut dikenal pasti melalui saringan bersasar yang dijalankan di tempat kerja terbabit selain saringan individu bergejala serta kontak rapat.

“Kluster Dataran Utas melibatkan daerah Petaling, Selangor dengan kes dilapor positif COVID-19 hari ini melalui saringan bersasar di sebuah syarikat dan hingga kini sejumlah 66 kes dikesan positif.

“Kluster Casa Permai juga melibatkan daerah Petaling, Selangor dengan kes dilapor positif COVID-19 bermula 31 Dis lepas melalui saringan bersasar di sebuah pasar raya dan kini 109 kes dikesan positif,” katanya pada sidang media perkembangan COVID-19 hari ini. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button