Berita Utama

Annuar diganti kerana cenderung kepada Bersatu?

Akar umbi tak mahu ada setiausaha ingin ‘jual’ UMNO kepada Bersatu

BANGI, 22 Jamadilawal 1442H, Rabu – Tan Sri Annuar Musa digantikan jawatannya bukan kerana isu Datuk Seri Anwar Ibrahim mahupun DAP, tetapi kerana kecenderongannya kepada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), iaitu parti yang ditolak oleh akar umbi UMNO.

Menjelaskan perkara itu, Ketua Penerangan Barisan Nasional (BN) Selangor, Isham Jalil berkata, Annuar memaklumkan bahawa beliau telah dipecat (atau digantikan) kerana tidak bersetuju dengan beberapa pemimpin UMNO yang mahu bekerjasama dengan Anwar dan DAP.

Bagaimanapun, kata Isham, pada hematnya, Annuar mungkin keliru.

“Beliau digantikan bukanlah kerana beliau tidak bersetuju dengan Presiden UMNO berkenaan kononnya isu sokongan ke atas Anwar atau DAP.

“Isu ini isu lama, surat yang dikatakan oleh Annuar Musa yang menunjukkan Presiden UMNO menyokong Anwar Ibrahim itu adalah surat bertarikh Oktober tahun lepas. Dalam politik, tiga bulan lepas adalah sama dengan tiga dekad lalu.

“Jika Annuar Musa tahu surat itu tulen seperti didakwa, maka mengapa beliau tidak bangkitkan ketidaksetujuan beliau kepada Presiden pada ketika itu?,” soalnya dalam satu kenyataan, hari ini.

Manakala jika isu dibangkitkan ketika itu dan Presiden UMNO mahu memecat Annuar atas sebab berkenaan, maka katanya, Annuar telah pun dipecat tiga bulan lepas dan bukannya sekarang.

“Dan baru-baru ini, Presiden UMNO sekali lagi secara terang-terangan telah membuat kenyataan yang UMNO tidak akan bekerjasama dengan DAP.

“Walaupun DAP menghulurkan cadangan untuk bekerjasama di Perak, namun UMNO dan Presiden UMNO telah pertimbang dan menolak cadangan tersebut. Ini jelas dan bukanlah isu lagi,” katanya.

Pada hakikatnya, Isham berkata, isu utama di sini adalah rata-rata akar umbi UMNO yang bermesyuarat di peringkat bahagian mewakili cawangan-cawangan di seluruh negara telah membuat keputusan menolak kerjasama dengan Bersatu.

“Akar umbi UMNO tidak mahu ada pemimpin atau setiausaha yang ingin ‘menjual’ UMNO kepada Bersatu.

“Secara dasarnya, Presiden UMNO merangkap Pengerusi BN tidak boleh ada seorang setiausaha yang mana kecenderungan dan kenyataan-kenyataannya bercanggah dengan kemahuan akar umbi. Sebab itu Annuar diganti,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button