Berita Utama

Bersatu tidak adil! PN di ambang perpecahan

UMNO, BN penyumbang kerusi terbesar dalam gabungan PN

BANGI, 22 Jamadilawal 1442H, Rabu – Lebih daripada 140 bahagian UMNO menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap Perikatan Nasional (PN), khususnya Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Bekas Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Aziz Kaprawi mendakwa, Bersatu seolah-olah tidak berlaku adil, meskipun UMNO dan Barisan Nasional (BN) merupakan penyumbang kerusi terbesar dalam gabungan PN.

“Jangan pula salahkan akar umbi UMNO yang telah bersuara ini, tetapi ukurlah di badan sendiri sama ada telah berlaku adil atau pun tidak terhadap UMNO dan BN, yang telah menyumbangkan kerusi terbesar dalam pembentukan kerajaan pada hari ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Terdahulu, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan pada Selasa memaklumkan, sebanyak 147 daripada 189 Bahagian UMNO menolak kerjasama dengan Bersatu.

Bagaimanapun, UMNO Pusat, jelas beliau, sedang mengumpul kesemua usul yang dibangkitkan untuk dibawa ke mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang dijangka diadakan malam ini.

Katanya, kesemua 189 mesyuarat UMNO Bahagian sudah menyelesaikan mesyuarat pada 1 hingga 3 Januari lalu yang menyaksikan 147 Ketua UMNO Bahagian menolak kerjasama berkenaan.

Mengulas lanjut, Aziz berkata, kerajaan yang berlaku adil akan stabil serta mampu melaksanakan agenda tanpa risau akan berpecah.

Malangnya, katanya, jika kerajaan bertindak sebaliknya, maka perpecahan akan berlaku seterusnya menjadi tidak stabil.

Jelasnya, kerajaan yang tidak stabil tidak mampu menjalankan agenda pembangunan dengan baik disebabkan tidak mendapat sokongan, selain perlu memberi perhatian terhadap isu-isu perpecahan.

“Maka, sebagai sebuah kerajaan yang inginkan kestabilan demi meneruskan agenda pembangunan negara dan kesejahteraan rakyat, maka berlakulah adil,” tegasnya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button