Berita Utama

Wanita dirampas MyKad masih dapat rawatan hospital

Hospital Lawas dan Miri tak pernah tolak untuk rawat pesakit

KUCHING, A21 Ramadan 1444H, Rabu – Seorang pesakit kanser wanita yang dilaporkan mengalami masalah selepas kad pengenalannya dirampas Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) sejak November tahun lepas tidak pernah dinafikan untuk menjalani rawatan di dua hospital kerajaan di utara Sarawak.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Sarawak, Dr Ooi Choo Huck berkata, anak perempuan kepada pesakit berusia 65 tahun itu telah dihubungi dan mengesahkan bahawa pihak Hospital Lawas dan Hospital Miri tidak pernah menolak untuk merawat ibu beliau.

“JKN Sarawak ingin memaklumkan bahawa perkhidmatan kesihatan telah terus diberi kepada pesakit ini tanpa mengira status pendaftaran MyKad dan kewarganegaraan pesakit berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kenyataan itu susulan laporan sebuah portal berita yang mengatakan wanita berkenaan, Lina Samuel menghadapi kesulitan untuk menjalani rawatan sejak MyKadnya dirampas JPN.

Laporan itu turut menyebut MyKad Lina dirampas sewaktu beliau hendak menukar alamatnya bagi membolehkannya mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15 tahun lepas dan pegawai JPN yang bertugas ketika itu memberitahu rampasan itu dibuat atas arahan orang atasan.

Dr Ooi berkata, individu yang dilaporkan dalam portal itu adalah di bawah pemantauan pakar bedah di Hospital Miri yang telah melakukan beberapa prosedur untuk merawatnya antara 15 Feb hingga 20 Mac lepas, selain diberikan janji temu rawatan susulan di klinik pakar hospital itu pada 17 April ini.

“Pesakit berkenaan juga telah mendapatkan rawatan di Unit Kecemasan dan Trauma Hospital Lawas pada 1 April 2023, di mana beliau menjalani pemeriksaan serta dirujuk kepada pegawai perubatan yang bertugas atas panggilan dan diberikan rawatan bersesuaian,” tambahnya. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button