Berita Utama

Pemimpin Cina MCA, DAP, PKR bela komunis satu tindakan dahsyat!

Sebagai pemimpin bawa aspirasi negara mereka wajib betulkan keadaan

BANGI, 22 Jamadilawal 1442H, Rabu – Penggunaan karikatur dan gambar yang didakwa mirip pemimpin Parti Komunis China seperti dilaporkan media baru-baru ini menjadi testimoni kepada kegagalan agenda negara bangsa di Malaysia.

Lebih mendukacitakan, sikap dipamerkan pemimpin berbangsa Cina dari tiga parti berbeza iaitu MCA, DAP dan PKR yang seakan-akan seiya sekata berhubung isu yang dianggap kontroversi di negara ini.

Felo Utama Institut Kajian Etnik (KITA) Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof Datuk Dr Teo Kok Seong menyifatkan, perkara tersebut sebagai salah dan ‘dahsyat’ kerana sebagai pemimpin yang membawa aspirasi negara mereka wajib memperbetulkan keadaan.

Malah, beliau beranggapan alasan yang diberikan untuk menggantung imej berunsur komunisme dikaitkan dengan strategi pemasaran sebagai tidak boleh diterima akal.

“Sebagai pemimpin masyarakat Cina sepatutnya mereka menegur sebab itu satu kesalahan, ini satu gelaja yang tidak baik. Itu satu kesalahan yang nyata sekali dari segi perundangan negara.

“Isu besar bagi saya kenapa kita gagal untuk bentuk satu negara bangsa dalam kalangan orang Cina, nipis semangat patriotisme mereka,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Kok Seong mendakwa, pemimpin Parti Komunis China, Mao Zedong sebagai individu kontroversi yang memiliki imej kurang disenangi bukan sahaja di negara ini malah di seluruh dunia.

Katanya, ideologi komunisme tidak diterima di negara ini dan sebarang usaha untuk menyuburkannya merupakan satu kesalahan di sisi undang-undang.

“Mao Zedong ini satu imej yang penuh dengan kontroversi, bila kita angkat imej dia makna kita sanjung orang itu dan kita sanjung perjuangan dia.

“Latar belakang Mao Zedong adalah sebagai pemberontak,” dakwanya lagi

Sehubungan itu, beliau berharap, pihak berkuasa menyiasat kes-kes terbabit bagi menghalang sebarang usaha menyebarluaskan ideologi komunisme.

“Yang sengaja, tak sengaja dan untuk menghidupkan kembali ideologi komunisme ini saya rasa kita serah pada polis. Maksudnya polis boleh menentukan motif sebenar.

“Tetapi apa-apa pun ia salah, perbuatan etnik Cina Malaysia memaparkan imej Mao Zedong ini salah sama sekali,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button