Berita Utama

UMNO sedia kembali jadi parti dominan usai PRU15: Penganalisis

Bersatu akan dicantas kerana dianggap ancaman terhadap survival UMNO

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin

BANGI, 22 Jamadilawal 1442H, Rabu – Perkembangan semasa berkenaan pendirian UMNO ketika ini menunjukkan parti itu semakin yakin bahawa ia kini tidak lagi memerlukan parti lain untuk mencapai kemenangan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Malah, UMNO sudah bersedia untuk kembali kepada status sebagai parti dominan seperti sebelum PRU14 yang lalu, demikian kata penganalisis politik, Dr Mazlan Ali.

Terbaharu, tindakan memecat Tan Sri Annuar Musa adalah antara tindakan paling radikal UMNO selepas gerakan menjatuhkan kerajaan Perak pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sebelum ini.

“Ini menggambarkan keazaman UMNO untuk memberi tekanan yang berterusan terhadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin supaya Parlimen segera dibubarkan,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Selain itu, hasil mesyuarat-mesyuarat bahagian UMNO seluruh negara menunjukkan majoriti bahagian menolak kerjasama dengan Bersatu.

“Ekoran penggantian Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) dan keputusan mesyuarat-mesyuarat bahagian, saya fikir mesyuarat MT malam ini mungkin akan memutuskan secara muktamad tentang hubungan bersama Bersatu dan kedudukan BN dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN).

“Ini sebenarnya adalah untuk memberi tekanan berterusan kepada Muhyiddin yang bakal kehilangan majoriti dan memutuskan untuk dibubarkan Parlimen,” katanya.

Ketika ditanya sama ada ini adalah manifestasi kepada ‘hilangnya sabar’ UMNO terhadap Bersatu, Dr Mazlan berkata, UMNO pada hakikatnya menganggap Bersatu sebagai ancaman terhadap survival mereka. 

“Di Sabah, UMNO kehilangan negeri itu kepada PN walaupun UMNO pernah berkuasa di negeri itu selama 27 tahun.

“UMNO bimbang di atas pengaruh Muhyiddin dan Bersatu yang kian bertambah ekoran dasar-dasar Perdana Menteri yang baik sepanjang pentadbiran beliau kira-kira 10 bulan yang lalu.

“UMNO juga tidak berpuas hati di atas pengagihan jawatan-jawatan dalam kerajaan yang dianggap tidak seimbang dan seolah-olah meminggirkan UMNO. Keadaan ini tidak dinafikan sangat mengecewakan UMNO yang menganggap Bersatu cuba melemahkan mereka,” katanya lagi.

Sementara itu, mengulas mengenai khabar angin yang menyatakan bahawa PRU15 dijangka diadakan tahun ini, Dr Mazlan berkata, beliau tidak bersetuju jika ia diadakan dalam masa terdekat.

“Saya menilai bahawa PRU tidak begitu sesuai diadakan dalam masa terdekat kerana dikhuatiri pandemik COVID-19 akan lebih buruk, sebagaimana kesan daripada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah September lalu.

“Saya menilai PRU15 jika diadakan sekarang belum tentu dapat mengatasi masalah ketidakstabilan politik kerana kedudukan yang agak seimbang antara parti-parti politik yang ada sekarang,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button