Berita Utama

UMNO bukan lagi wadah perjuangan Islam, Melayu dipercayai

Pucuk pimpinan tiada ideologi kukuh dalam perjuang agenda

BANGI, 23 Jamadilawal 1442H, Khamis – UMNO kini bukan lagi wadah yang boleh dipercayai dalam memperjuangkan nasib agama Islam, bangsa Melayu dan tanah air.

Ia bertitik tolak kepada pucuk pimpinan parti berteraskan orang Melayu itu yang tidak lagi memiliki ideologi kukuh dalam memperjuangkan agenda berkenaan.

Penganalisis politik, Prof Datuk Dr Zainal Kling mendakwa, UMNO pada ketika ini berada pada kedudukan paling lemah dengan pucuk pimpinannya perlu digugurkan segera untuk mereka kekal releven.

Beliau sama sekali tidak boleh menerima hakikat, UMNO yang memiliki jutaan ahli dan kerusi terbesar dalam Parlimen boleh tunduk kepada parti yang lebih minoriti seperti PKR.

Lebih memeritkan, katanya, kesanggupan parti yang ditubuhkan untuk menuntut kemerdekaan itu menjilat ludahnya sendiri apabila membuka kerjasama dengan parti perkauman, DAP.

“Sekarang ini kita tidak lagi boleh yakin tentang itu (UMNO bela Islam dan Melayu), kerana ternyata bahawa pucuk pimpinan UMNO adalah golongan yang tidak mempunyai pegangan yang tegas, ideologi kuat tentang Melayu.

“Parti terbesar tunduk kepada parti terkecil, maka ini adalah kelemahan yang tidak boleh diterima oleh orang Melayu,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Prof Zainal menegaskan, UMNO sepatutnya bersifat dominan serta memimpin parti lain menuruti agenda perjuangan mereka.

Sehubungan itu, beliau berharap pemimpin parti tersebut duduk semeja dan bermuhasabah bagi mencari jalan keluar kepada kemelut yang melanda.

“Oleh kerana pucuk pimpinan tak kuat, kekuatan itu langsung lemah dan pupus begitu sahaja. Kini nak tunduk pada orang lain, nak tunduk pada DAP, PKR.

“Maka ini adalah kelemahan yang patut semua orang UMNO di bawah tak boleh terima kelemahan ini,” katanya lagi.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button