Berita Utama

COVID-19: Catat kes harian tertinggi 3,027

Turut mendukacitakan catatan 8 kematian hari ini

KUALA LUMPUR, 23 Jamadilawal 1442H, Khamis – Genap seminggu memasuki tahun 2021, Malaysia mencatatkan kes harian COVID-19 tertinggi baharu iaitu sebanyak 3,027 kes dalam tempoh 24 jam lalu menjadikan jumlah keseluruhan kes positif sebanyak 128,465 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata bilangan kes COVID-19 yang sembuh bagi tempoh sama adalah 2,145 kes menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh sebanyak 102,723 kes.

“Daripada keseluruhan kes baharu, kes penularan tempatan adalah sebanyak 3,021 kes manakala kes import adalah enam. Jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 pula adalah 25,221 kes,” katanya menerusi Twitter rasmi beliau hari ini.

Dr Noor Hisham berkata daripada keseluruhan kes baharu yang dicatatkan, enam daripadanya merupakan kes import manakala penularan tempatan sebanyak 3,021 kes.

Johor melaporkan kes harian baharu tertinggi iaitu sebanyak 1,103 kes mewakili 36.4 peratus daripada jumlah dengan 1,043 kes (94.6 peratus) adalah daripada kluster dan saringan kontak rapat COVID-19 yang aktif dijalankan di lapangan.

Selangor di tempat kedua dengan sebanyak 706 kes (23.3 peratus) dan seterusnya Sabah sebanyak 493 kes (16.3 peratus).

“Sebanyak 63 kes (2.1 peratus) yang dilaporkan pula adalah berkaitan kluster di lokap, depot tahanan imigresen, dan penjara.

“Ia melibatkan Kluster Penjara Jalan Harapan (35 kes), Kluster Damai Pelangi (16 kes), Kluster Tembok Gajah (4 kes), Kluster Tembok Choh (4 kes), Kluster Tembok Mempaga (3 kes), dan Kluster Pagar Siput (1 kes),” kata kenyataan itu. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button