Dunia

COVID-19: Kes baharu di Indonesia hampir cecah 10,000

Mungkin kuat kuasa kembali pembatasan sosial berskala besar

JAKARTA, 23 Jamadilawal 1442H, Khamis – Jangkitan baharu COVID-19 di Indonesia terus membimbangkan selepas merekodkan 9,321 lagi kes baharu dalam tempoh 24 jam.

Kes baharu tertinggi setakat ini itu menjadikan kes positif keseluruhan di republik itu meningkat kepada 797,723 kes manakala 68,753 pesakit masih dalam pemantauan virus berkenaan.

Presiden Indonesia Joko Widodo dalam siaran media menerusi YouTube Sekretariat Presiden, menyatakan kemungkinan untuk menguatkuasakan kembali pembatasan sosial berskala besar (PSBB) atau ‘lockdown’ sepenuhnya di seluruh Indonesia, jika kes baharu COVID-19 terus meningkat.

Ketika ini, PSBB fasa transisi (pemulihan) dilaksanakan di kebanyakan provinsi atau wilayah di Indonesia, yang antaranya membenarkan beberapa aktiviti sosioekonomi dijalankan, selain membenarkan orang ramai merentasi wilayah.

Menurut data yang disiarkan menerusi laman Twitter rasmi Badan Nasional Pengurusan Bencana Indonesia @BNPB_Indonesia hari ini, sebanyak 224 lagi kematian berlaku, menjadikan kematian keseluruhan kini berjumlah 23,520 orang.

Provinsi Jakarta masih mencatatkan jumlah kes positif tertinggi iaitu 197,699 kes, dengan tambahan 2,398 kes baharu dalam tempoh 24 jam.

Provinsi Jawa Timur mencatatkan jumlah kematian keseluruhan tertinggi iaitu 6,241, dengan 68 lagi kematian dalam tempoh sama. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button