Berita Utama

DAP lompat MCA: Pemimpin Cina sanggup buat apa saja demi bangsa!

Apakah UMNO akan kerjasama dengan MCA jika mereka hanya salin kulit dari DAP?

BANGI, 23 Jamadilawal 1442H, Khamis – Bukanlah sesuatu yang mengejutkan sekiranya wujud khabar angin mengenai ‘perpindahan’ beramai-ramai wakil rakyat DAP ke MCA.

Ini kerana, parti politik Cina hanyalah sebagai wadah bagi menjayakan agenda kaum itu, dan ia adalah rahsia yang sememangnya diketahui umum, kata Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Haji Aminuddin Yahaya.

Terdahulu, China Press melaporkan terdapat spekulasi bahawa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Malim Nawar, Leong Cheok Keng akan keluar parti bagi menyertai MCA.

Tindakan wakil rakyat Perak itu didakwa mungkin diikuti sejumlah Ahli Parlimen dan ADUN lain yang jumlahnya mencecah 20 orang.

Bagaimanapun dakwaan itu enggan diulas dan tidak disahkan oleh mana-mana pemimpin DAP atau MCA.

Bagaimanapun, Aminuddin percaya bahawa berita yang dilaporkan secara eksklusif dalam akhbar Cina tidak pernah menipu.

Beliau berkata, demi bangsa serta percaturan politik, pemimpin Cina sanggup berbuat apa sahaja walaupun perlu menukar parti.

“Mungkin menukar-nukar parti ini pun adalah aturan di belakang tabir di antara mereka. 

“Mereka ini ‘isolated’ dalam masyarakat mereka dengan isolasi bahasa mereka tersendiri, akhbar tersendiri, persatuan mereka tersendiri membuatkan kita terlepas pandang pelbagai perkara dan perspektif terutamanya tentang politik,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, pastinya mereka sudah merancangkan pelbagai pelan untuk menghadapi kemungkinan politik yang tidak menentu ketika ini.

“Boleh jadi pelan A adalah DAP bekerjasama dengan UMNO. Boleh jadi pelan B adalah untuk memperkasakan MCA kerana MCA pasti akan menang di banyak kerusi dengan menumpang ihsan orang Melayu yang setia mengundi lambang ‘dacing’ dan seterusnya.

“Persoalannya apakah UMNO akan teruskan kerjasama dengan MCA jika mereka hanya salin kulit dari DAP sahaja nanti (jika jadi)?,” soalnya.

Aminuddin berkata, jika UMNO membiarkan sahaja dan terus ‘memanjakan’ MCA, tindakan itu dianggap penipuan moral yang mengotorkan lagi landskap politik negara.

“Akhirnya tiba pada persolan, apakah orang Melayu perlu menolak BN? Takkanlah kita mahu PH pula?

“Politikutu akan mengambil kesempatan atas dilema ini dengan pelbagai cara memanipulasi dan kata-kata dusta,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button