Berita Utama

ISMA Eropah kutip sumbangan lebih RM53,000 untuk Nur Izzah

Orang ramai masih boleh hulur sumbangan kepada ibu mangsa

BANGI, 23 Jamadilawal 1442H, Khamis – Kutipan tabung sumbangan oleh Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Eropah untuk pelajar Malaysia, Nur Izzah Mohd Shokri di Manchester, England, yang ditimpa kemalangan jalan raya telah pun ditutup pada 4 Januari lalu.

Bagaimanapun, orang ramai yang ingin menyumbang boleh menyalurkan sumbangan kepada ibu mangsa Hamidah Wahab melalui akaun Maybank 106138056407.

Menerusi kenyataan di Facebook, ISMA Eropah berkata, sehingga Isnin lepas, jumlah sumbangan yang terkumpul ialah 5,100 pound (RM28,012) (akaun BTC ISMA Eropah) dan RM25,222.69 (akaun Maybank Kesatuan Alumni Se-Eropah).

Sehubungan itu, ISMA Eropah merakamkan ucapan terima kasih kepada semua penderma yang telah menghulurkan sumbangan.

“Terima kasih kepada semua penderma yang budiman. Semoga Allah memberi ganjaran kepada anda semua dengan sebaik-baiknya.

“Ayuh kita bersama-sama titipkan doa agar keadaan saudari Izzah semakin baik dan sembuh seperti sedia kala,” katanya.

Nur Izzah, 20, pelajar tahun pertama jurusan perakaunan dan kewangan di Universiti Manchester dilaporkan, mengalami kecederaan serius di kepala dan tulang rusuk selepas bertembung dengan sebuah bas ketika menunggang basikal di Wilmslow Road, Rusholme dalam kejadian 4.25 petang waktu tempatan, 28 Disember lalu.

Pelajar tajaan PETRONAS itu koma selepas menjalani pembedahan dan kini ibu bapanya Mohd Shokri Zainal, 56, dan Hamidah, 46, sudah berada di England untuk bersamanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button