Berita Utama

Kemelut parti Melayu beri peluang orang Cina jadi ‘king maker’

PRU 1999 undi Cina bantu BN terus memerintah tatkala dilanda gerakan reformasi

BANGI, 23 Jamadilawal 1442H, Khamis – Keretakan yang berlaku dalam kalangan parti politik Melayu memberikan peluang kepada orang Cina menjadi ‘king maker’.

Bagaimanapun, undi kaum Cina diibaratkan rosak jika terus menyokong DAP – yang didakwanya sebagai parti yang hanya tahu bercakap dan tidak bekerja – sehingga menyebabkan kekuatan politik kaum itu selama-lamanya berada di blok pembangkang.

Memetik artikel yang disiarkan di Bingo Daily, kejatuhan DAP hari ini adalah disebabkan tindakan mereka menyinggung semua parti Melayu, termasuk membelakangkan Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam pelantikan Perdana Menteri walaupun sudah 20 tahun bekerjasama dengan PKR.

“Pilihan raya Sabah adalah contoh terdekat, sifat melampau DAP hanya menyebabkan orang Melayu dan kaum lain menjauhkan diri dan memberi undi mereka kepada pihak yang ibarat membuang undi itu ke laut.

“Kita imbau semula PRU 1999, di mana Anwar telah dipecat, gerakan reformasi dilancarkan, orang Melayu berpecah dan pada masa inilah orang Cina menjadi ‘king maker’ membantu BN terus memerintah. 

“Melihat kepada kejadian itu, boleh dikatakan orang Cina bukanlah pengundi tegar DAP,” dakwa artikel berkenaan.

Artikel itu mendakwa, selepas melalui tiga pilihan raya umum dan kaum Cina mula memberikan undi tanpa berbelah bahagi kepada DAP sehingga parti itu memerintah, namun ia tidak menguntungkan masyarakat Cina.

“Orang Cina telah mendapat Menteri Kewangan yang bukan Cina, peruntukan UTAR lesap, SJKC dan SJKT dipaksa belajar Jawi, Dong Zong dilabel rasis dan lain-lain lagi.

“Dulu DAP lantang menyuarakan layanan terhadap orang Cina tidak adil, waktu PH memerintah ia menjadi lebih tidak adil.

“DAP ibaratkan orang Cina rakyat kelas kedua, masa mereka memerintah mengaku diri bukan Cina (menyindir Lim Guan Eng yang pernah kata dirinya orang Malaysia bukan Cina),” kata artikel itu.

Berbeza ketika zaman MCA memerintah, artikel itu mendakwa, orang Cina diberikan sumbangan terbesar melalui UTAR selain RM560 juta kepada 450 buah kampung baru dalam tempoh lapan tahun.

“Dari 1999 hingga 2007, BN telah meluluskan pembinaan 70 buah SJKC termasuklah yang dipindahkan ke lokasi baru, ini adalah sesuatu yang tidak pernah berlaku sebelum ini.

“Jika mahu sekali lagi menjadi ‘king maker’, pengundi Cina yang pragmatik patut tahu kepada siapakah patut mereka berikan undi mereka,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button