Berita Utama

Logo halal tak sah, mi segera bernilai RM1.49 juta dirampas

Premis pernah didapati kotor, bahan mentah diletak di lantai kilang

BANGI, 23 Jamadilawal 1442H, Khamis – Produk mi segera bernilai RM1.49 juta dirampas dalam serbuan di sebuah syarikat di Rawang semalam kerana menyalahgunakan logo halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Serbuan kira-kira jam 12 tengah hari itu mendapati, syarikat terbabit menggunakan logo halal yang telah dibatalkan disebabkan operasi syarikat berkenaan gagal mematuhi standard pemegang sijil halal seperti yang ditetapkan oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

Antaranya adalah kerana premis itu kotor dan bahan mentah diletakkan di atas lantai kilang.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor, Muhamad Zikril Azan Abdullah berkata, ketika serbuan, pihaknya menemui sejumlah 1,128,872 pek mi segera pelbagai perisa yang menggunakan logo halal yang telah dibatalkan penggunaannya.

Turut ditemui adalah sejumlah 258 gulung dan 2,696,00 plastik pembungkus serta hampir 42,000 unit kotak pembungkus yang menggunakan logo halal yang telah dibatalkan penggunaan oleh JAIS.

“Wakil syarikat terbabit telah memaklumkan pihaknya telah membuat permohonan rayuan ke atas penarikan sijil halal syarikatnya, namun permohonan itu ditolak berikutan terdapat teguran yang dibuat gagal diambil tindakan sewajarnya dalam tempoh yang ditetapkan,” katanya seperti dilapor Sinar Harian, hari ini.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Perenggan 4 Perintah Perihal Dagangan (Takrif Halal) 2011.

Muhamad Zikril turut memberi amaran dan peringatan kepada mana pengilang atau pembuat makanan dan minuman di Selangor khususnya supaya tidak menggunakan logo halal atau apa-apa ungkapan halal dengan sewenang-wenangnya tanpa kebenaran pihak berkuasa berwibawa.

“Penalti berat akan dikenakan terhadap mana-mana individu yang ingkar,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button