Berita Utama

Isu kartel polis sudah lama berlaku: Respa

Budaya kartel hanya mencemarkan nama baik pasukan polis

KANGAR, 11 Syaaban 1442H, Khamis – Pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) perlu telus dalam tugas masing-masing bagi memastikan budaya kartel tidak terus wujud kerana ia hanya mencemarkan imej pasukan polis.

Pengerusi Persatuan Pegawai-Pegawai Kanan Polis Bersara Malaysia (Respa) Perlis Tengku Asmara Tengku Burhanudin berkata pihaknya berharap isu itu dapat diselesaikan segera bagi menjaga nama baik PDRM.

“Kami menyokong penuh pendedahan yang dibuat oleh Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador mengenai wujud kartel dalam PDRM…perkara ini telah lama berlaku dalam pasukan polis,” katanya kepada pemberita ketika menghadiri sambutan Hari Polis ke-214 Peringkat Negeri Perlis di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis yang turut dihadiri Ketua Polis Perlis Datuk Surina Saad di sini hari ini.

Media sebelum ini melaporkan Abdul Hamid mendakwa wujud kartel dalam PDRM dan gerakan dalaman pegawai muda PDRM yang ingin menguasai jawatan penting selain mahu menjatuhkan beliau.

Tengku Asmara yang turut memuji tindakan berani Abdul Hamid itu berkata perkara seperti ini sepatutnya tidak berlaku kerana beberapa penambahbaikan telah dilakukan dalam institusi PDRM termasuk gaji yang lebih besar berbanding dahulu. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button