Berita Utama

Kawal selia BNM solusi interim, tidak ubah sifat asal TH: MoF

Persepsi konsep riba raih pulangan terbaik daripada pelaburan tidak timbul sama sekali

KUALA LUMPUR, 12 Zulhijjah 1442H, Khamis – Kementerian Kewangan (MoF) hari ini menegaskan bahawa langkah pengawalseliaan Lembaga Tabung Haji (TH) di bawah Bank Negara Malaysia (BNM) adalah satu solusi atau penyelesaian interim.

Sehubungan itu, MoF berkata, ini tidak akan mengubah sifat asal TH sebagai agensi unggul khususnya dalam pengurusan jemaah haji bagi menunaikan Rukun Islam kelima sebagaimana termaktub di bawah Akta Tabung Haji 1995 (Akta 535).

“Selain itu, hal ehwal haji masih kekal di bawah tanggung jawab Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).

“Lembaga Pengarah dan badan pengurusan TH tetap mempunyai tanggungjawab utama dalam menentukan hala tuju TH serta pengurusan dan operasi haji,” kata kementerian itu dalam satu kenyataan.

Menurut MoF, usaha kawal selia TH berkaitan pengambilan deposit serta pengurusan risiko dan kecairan atau mudah tunai oleh BNM juga satu solusi interim yang akan dilaksanakan sehingga hasil dapatan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) dibentangkan untuk pertimbangan selanjutnya di pihak kerajaan.

“Memandangkan TH menerima deposit daripada bakal jemaah haji serta orang ramai dan kerajaan menjamin wang simpanan pendeposit tersebut di bawah Akta 535, maka amat wajar ianya dikawal selia dengan lebih baik serta dapat terus menjana pendapatan daripada pelaburan yang patuh Syariah.

“Penambahbaikan kawal selia TH adalah selaras dengan hasrat kerajaan supaya TH kembali ke mandat asal penubuhannya iaitu menguruskan simpanan pendeposit untuk tujuan menunaikan haji di samping simpanan untuk pelaburan,” katanya.

MoF juga menegaskan bahawa TH adalah sebuah institusi kewangan yang dianggap penting untuk sistem kewangan negara berikutan jumlah depositnya yang kini mencecah RM82 bilion, dan saling hubung yang rapat dengan sistem kewangan terutama sebagai pemegang saham terbesar Bank Islam Malaysia Bhd (Bank Islam).

“Oleh itu penetapan kawal selia di bawah BNM yang masih berlandaskan konsep Syariah akan memantapkan tadbir urus dan memastikan tiada penyalahgunaan dana yang boleh memaksa kerajaan menggantikan wang pendeposit berikutan jaminan kerajaan,” katanya.

Jelas MoF, sebagai sebuah institusi yang berkait rapat dengan sistem kewangan negara dan tentunya mempunyai kepentingan sistemik, kerajaan perlu turut memastikan agar kedudukan kewangan TH terus diperbaiki dan diperkukuh.

“Deposit mencecah RM82 bilion iaitu 10 peratus daripada jumlah deposit sistem perbankan Islam negara perlu ditadbir dengan baik berteraskan konsep semak dan imbang kerana sebahagian daripada deposit berkenaan diletakkan di institusi perbankan Islam.

“Tindakan pengeluaran deposit secara mendadak berupaya mencetuskan masalah kecairan bagi institusi perbankan Islam dan memberi kesan ke atas sistem kewangan Islam Malaysia.”

Kementerian itu juga menegaskan bahawa ia sedia maklum mengenai perbezaan mandat serta peranan TH berbanding institusi perbankan yang lain.

Justeru, jelasnya, skop pengawalseliaan BNM pada waktu ini sementara menunggu selesainya RCI, adalah hanya tertumpu kepada aspek pengambilan deposit serta pengurusan risiko dan kecairan dengan rangka kerja pengawalseliaan yang berbeza daripada peraturan am dipatuhi oleh institusi perbankan lain.

MoF berkata, persepsi berhubung konsep riba bagi meraih pulangan terbaik daripada pelbagai pelaburan untuk manfaat pendeposit juga tidak timbul sama sekali kerana BNM mempunyai Majlis Penasihat Syariah yang berpengetahuan, berpengalaman serta turut diiktiraf di peringkat antarabangsa.

“Kesemua usaha ini bertujuan untuk terus melindungi hak-hak pendeposit dan memastikan segala pelaburan oleh TH adalah berlandaskan prinsip Syariah,” katanya. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button