Berita Utama

Relawan Muda ISMA bantu mangsa banjir di Raub

1,000 relawan akan digerakkan bagi kerja pembersihan

BANGI, 23 Jamadilawal 1442H, Khamis – Relawan Muda Ikatan Muslimim Malaysia (ISMA) Raub melaksanakan misi penghantaran bantuan kemanusiaan kepada mangsa yang terjejas dengan bencana banjir di daerah itu.

Misi bantuan kemanusiaan dengan kerjasama Yayasan Maghfirah itu turut disertai belia Pertubuhan Pembela-Pembela Islam Malaysia (PEMBELA).

Ketua Pemuda ISMA, Arifin Manan berkata, misi kali ini menghantar bantuan hygiene kit, kain selimut, kain pelikat serta air bersih kepada masyarakat Raub.

“Kami juga akan meninjau lokasi-lokasi yang memerlukan kerja-kerja pembersihan dan kemudiannya menggerakkan lebih 1,000 Relawan Banjir yang berdaftar untuk tujuan tersebut,” katanya dalam hantaran di Facebook, hari ini.

Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh ke akaun CIMB Yayasan Maghfirah 8603221427 (Reference : banjir).

Bagi mereka yang ingin menyumbang tenaga untuk membersihkan rumah-rumah banjir, boleh klik pautan: http://bit.ly/Relawan_Banjir

Setakat jam 8.30 pagi tadi, jumlah mangsa banjir di Pahang terus meningkat kepada 24,298 orang daripada 6,535 keluarga di sembilan daerah.

Jumlah itu bertambah, berbanding petang semalam membabitkan 21,922 orang daripada 5,858 keluarga dan ditempatkan di 259 pusat pemindahan sementara (PPS).

Sebanyak 54 PPS dibuka di Temerloh, diikuti Maran (41), Lipis (40), Raub (37), Jerantut (36), Kuantan (33), Pekan (23), Bera (11) dan Rompin (tujuh).

Kuantan merekodkan 3,534 mangsa daripada 954 keluarga, diikuti Temerloh 5,818 membabitkan 1,618 keluarga; Maran 5,275 daripada 1,453 keluarga.

Rompin pula merekodkan 986 daripada 257 keluarga, Bera 726 daripada 197 keluarga, Raub 2,182 daripada 573 keluarga, Jerantut 2,367 daripada 568 keluarga; Lipis 2,551 daripada 675 keluarga dan Pekan 859 daripada 240 keluarga.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button